Aliff Shukri Dakwa 'Disamun' Pembantu Rumah


KUALA LUMPUR - Pengasas produk kosmetik D'Herbs, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, mendakwa kerugian hampir RM40,000 apabila wang tunai dan perabot mewah miliknya, dilarikan pembantu rumah dari kediamannya, baru-baru ini.

Dalam kejadian itu, Aliff Shukri, 30, mendakwa pembantu rumah tempatan berusia lewat 50-an yang diambilnya bekerja bulan lalu menjadi dalang.

Kejadian itu didedahkan menerusi dua klip video dan tiga gambar yang dimuat naik ke akaun Instagram peribadi milik jutawan kosmetik terbabit.

Aliff Shukri mendakwa, menemui semula perabotnya yang hilang selepas berjaya menjejaki pembantu rumahnya yang tinggal di sebuah banglo dekat Shah Alam.

"Niat saya mahu membantunya mencari kerja, akhirnya dia pula mencuri daripada saya, semua perabot saya habis diambilnya, itu yang saya tahu, mungkin ada lagi barang yang diambilnya.

"Bukan niat saya untuk memalukan pembantu terbabit atau untuk diviralkan perkara ini, tetapi saya sudah banyak kali meminta kepadanya supaya memulangkan semula barang saya, tapi tidak dibalas, sebelum dia lari, baik saya bawa dia terus ke balai polis.

"Wanita itu datang meminta kerja sebagai pembantu rumah bulan lalu. Saya lihat dia macam orang yang baik dan kasihan sebab sudah tua. Saya minta dia jaga telefon bagi urusan pembelian produk.

"Saya dapat tahu dia juga menipu pelanggan saya, bila ada pelanggan yang mahu bayar, dia suruh masukkan duit dalam akaun dia, saya juga mengesyaki dia mempunyai rakan subahat, mungkin dengan pekerja saya yang lain," katanya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan. Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com