AKSEM Tingkat Kawalan Susulan Serangan Bom Di Selatan Thai


BUKIT KAYU HITAM - Pihak berkuasa negara ini meningkatkan kawalan pemeriksaan di sempadan Malaysia-Thailand sebagai langkah keselamatan susulan kejadian letupan bom di selatan Thai, kelmarin.

Komander Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Bukit Kayu Hitam, Asisten Superintendan Mohd Khairi Abdullah berkata, anggotanya melakukan pemeriksaan rapi terutama ke atas kenderaan mencurigakan dari negara jiran.

"Walaupun kejadian jauh dari negara ini, kita tetap mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak insiden tidak diingini kerana kawasan ini hampir dengan pekan Danok, Thailand.

"Kawalan ketat dilakukan sejak awal Ramadan untuk memastikan tidak berlaku kemasukan barang larangan seperti mercun dan bunga api, selain beras dan sebagainya untuk sambutan Aidilfitri ini," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks Pentadbiran AKSEM di sini, semalam.

Dalam serangan semalam, bahan letupan diletakkan di beberapa mesin ATM dan cawangan bank sekurang-kurangnya di 14 lokasi di empat wilayah termasuk Yala, Pattani, Narathiwat dan Songkhla.

Mohd Khairi berkata, selain memastikan keselamatan negara terpelihara, AKSEM juga meningkatkan kawalan bagi mengekang kegiatan penyeludupan khususnya menjelang Aidilfitri.

"Kebiasaannya pada musim perayaan, penyeludup cuba mengambil kesempatan ketika anggota bertukar syif, waktu solat Jumaat dan solat tarawih," ujarnya.

Beliau berkata, akhir bulan lalu pihaknya menahan kereta dipandu seorang lelaki tempatan berusia 40-an bersama isterinya, warga Thailand dan dua anak mereka berusia antara empat hingga lima tahun.

"Hasil pemeriksaan di bahagian bonet Proton Gen 2, kami menemui 28 ketulan ganja mampat seberat 30 kilogram yang disorok di belakang kotak pembesar suara diubahsuai.

"Jika dilihat secara biasa, ruang yang mengandungi dadah itu tidak nampak tetapi hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat ruang yang boleh dibuka.

"Ganja yang dirampas dianggarkan bernilai RM70,000 dan kes serta barangan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, " katanya.

Katanya, dadah itu dipercayai hendak dihantar ke pasaran di sekitar Sungai Petani.

Dalam pada itu, Mohd Khairi berkata, pihaknya akan memperluaskan rondaan dan mencari laluan baharu yang mungkin digunakan penyeludup, selain memberi tumpuan di kawasan laluan penyeludup.

Sementara itu, rakyat Malaysia, Rahim Ramli, 53, berkata, dia yang kini bermaustautin di Thailand berkata beliau sudah biasa dengan berita pengeboman di negara itu.

Katanya, kejadian di Songkhla semalam tidak membimbangkan kerana ia berlaku kira-kira 100 kilometer dari pekan Danok.

"Saya kerap berulang alik ke Bukit Kayu Hitam sejak berpindah ke Thailand dan mendapati pemeriksaan di negara ini lebih ketat berbanding di sana (Thailand).

"Ia perlu untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com