Akhyar Tetap Dalam Perancangan Hodak


KUALA LUMPUR - Pengendali skuad bawah 19 tahun (B-19) negara, Bojan Hodak menegaskan penyerang Akhyar Rashid dan Hadi Fayyadh Abdul Razak tetap berada dalam perancangannya meskipun tidak berada dalam senarai 27 pemain bagi kem latihan pusat bermula Ahad ini.   

Beliau berkata, dua pemain utama itu serta lapan lagi pemain tidak dapat bersama pasukan bagi latihan persiapan Kejohanan AFF B-19 memandangkan mereka terikat dengan kempen Liga Malaysia (Liga-M) yang tetap berlangsung sepanjang Ramadan ini.

"Latihan pusat ini untuk mengumpul pemain (Piala Presiden) yang tidak beraksi apabila liga berehat seketika. Kita mahu pemain ini kekal cergas kerana kita akan mengharungi Kejohanan AFF di Indonesia, Julai ini.

"Ada 10 pemain yang tidak dapat saya panggil kerana mereka bermain dalam Liga Super dan Liga Perdana termasuk Akhyar dari Kedah. Seramai 27 pemain yang dipanggil ini bukan senarai akhir untuk ke Kejohanan AFF, saya akan menilai pemain lain juga," kata Hodak.

Skuad muda negara akan berlatih sembilan hari di Wisma FAM dan kemudian 23 pemain terbaik akan dipilih untuk dibawa ke Bangkok, Thailand pada 29 Mei bagi latihan dan tiga perlawanan persahabatan sebelum pulang ke tanah air pada 5 Jun.

Bagaimanapun, Hodak mengakui beliau bakal berdepan kesukaran untuk mendapatkan pemain pada fasa akhir sebelum ke Kejohanan AFF memandangkan jadual liga yang padat.

"Saya tidak mempunyai banyak masa memanggil semua pemain sebelum kejohanan itu nanti, mungkin hanya dua, tiga hari dapat mengadakan latihan dengan semua pemain. Saya tidak menetapkan sasaran di kejohanan itu kerana tidak mahu memberi tekanan kepada pemain tapi sudah pasti kita mahu menang setiap perlawanan. 

"Kita akan cuba mara ke separuh akhir terlebih dahulu dan kemudian mengintai peluang ke final. Bagi saya Kejohanan AFF ini persiapan pasukan sebelum misi utama pada Kejohanan AFC di Indonesia, Oktober depan," kata jurulatih kelahiran Croatia itu.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com