Akaun Palsu Hina Agama, Aweera Buat Laporan Polis


PENYANYI bersuara tinggi, Aweera mengakui terkejut dengan kewujudan akaun palsu menerusi laman Facebook yang menggunakan gambarnya bagi tujuan menghina agama Islam.

Perkara berkenaan telah dikongsi sendiri oleh Aweera menerusi entri dalam laman Instagram miliknya pada Selasa.

Menurut Aweera, dia sama sekali tidak tahu siapa yang membuat perkara berkenaan dan menafikan kenyataan yang dimuat naik oleh individu tidak bertanggungjawab tersebut.

Malah, Aweera turut tidak menyangka terdapat pihak yang sanggup mewujudkan akaun palsu membabitkan dirinya.

“Allahuakbar. Ada lagi ke orang buat akaun palsu! Jaga-jaga anda semua, ini palsu. Aku tidak pernah main-mainkan nama Allah. Semoga orang yang buat akaun palsu ini dapat hidayah Allah,” tulis Aweera.

Bagaimanapun Aweera berkata, dia telah membuat laporan polis berhubung akaun palsu berkenaan dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

“Alhamdulillah. Baru lepas buat laporan polis berkaitan akaun palsu yang menggunakan gambar saya dan di dalam akaun itu dia telah menghina agama Islam dengan menggunakan foto saya.


“Apa-apa pun saya serah pada pihak polis untuk mengambil tindakan sewajarnya. ALLAHUAKBAR,” ujarnya menerusi satu entri yang berlainan.

Posting yang mendapat lebih daripada 1,000 tanda suka itu dilihat menerima reaksi pelbagai daripada pengikut-pengikutnya di laman tersebut.

Rata-rata komen ditinggalkan oleh pengikutnya meminta penyanyi itu supaya bersabar dan tabah menghadapi dugaan terbabit. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com