Ahmad Bashah Sedia Lepas Jawatan Pengerusi UMNO Kedah


ALOR SETAR - Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sedia melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) di Kedah.

Sambil menyifatkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai sesuatu yang amat mendukacitakan, Ahmad Bashah berkata, beliau akan berbincang dengan kepimpinan UMNO negeri berhubung kedudukannya.

"Saya bersedia mengundurkan diri untuk pelapis baharu meneruskannya.. Tunggu sehari dua, saya akan berbincang dengan kepimpinan UMNO Alor Setar dan kepimpinan negeri.

"Jika terdapat permintaan supaya saya melepaskan jawatan, saya sedia memberi laluan kepada pemimpin pelapis untuk menerajui kepimpinan UMNO Kedah," katanya pada sidang media majlis sambutan ulang tahun penubuhan UMNO ke-72 di sini, semalam.

Pada PRU-14 Rabu lalu, BN kehilangan Kedah selepas hanya berjaya memenangi tiga kerusi daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sementara itu, Ahmad Bashah berkata, UMNO Kedah menerima keputusan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

"Saya sendiri berasa amat dukacita dengan keputusan beliau meletakkan jawatan atas rasa tanggungjawab di atas kekalahan BN pada pilihan raya kali ini dan bagi memberi laluan kepada barisan kepimpinan baharu mengambil alih.

"Kita hormati dan terima keputusan beliau walaupun dengan berat hati dan dalam keadaan sangat sedih," katanya.

Ahmad Bashah juga meminta semua ahli UMNO bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku pemangku jawatan Presiden.

Beliau berkata, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN di Kedah akan bekerjasama dengan 15 ADUN PAS dalam blok pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com