Ahmad Bashah Gagal Pertahan Kerusi DUN Suka Menanti


ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah gagal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Suka Menanti dalam Parlimen Alor Setar, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semalam

Beiiau tewas kepada calon Pakatan Harapan Zamri Yusuf (PKR-PKR) dengan majoriti 6,251 undi.

Zamri yang memperoleh 13,301 undi, turut menewaskan calon PAS Mohd Sabri Omar, yang mendapat 4,580 undi. Ahmad Bashah memperoleh 7,050 undi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Alor Setar Datuk Mohd Zohdi Saad mengumumkan keputusan itu di pusat penjumlahan undi Parlimen Alor Setar di Maktab Mahmud Alor Setar, di sini malam ini.

Dua lagi kerusi DUN dalam Parlimen Alor Setar, DUN Kota Darul Aman dan Alor Mengkudu turut menyaksikan calon Pakatan Harapan menguasai kedua-dua kerusi berkenaan.

Teh Swee Long (PKR-DAP) menewaskan calon BN Tan Eng Hwa, calon PAS Zulkifli Che Haron dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Tan Kang Yap dengan majoriti 8,468 undi selepas memperoleh 11,737 undi. Eng Hwa mendapat 3,269 undi, Zulkifli (1,732 undi) dan Kang Yap (32 undi) .

Penyandang kerusi DUN Alor Mengkudu Ahmad Saad@Yahaya, gagal mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada PRU13 kepada Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (PKR-Amanah) dengan majoriti 1,876 undi.

Phahrolrazi yang memperoleh 8,840 undi turut mengalahkan calon BN Abdul Malik Saad yang mendapat 6,434 undi. Ahmad memperoleh 6,964 undi.

Sementara itu, dalam perebutan tiga penjuru di kerusi Parlimen Alor Setar, menyaksikan penguasaan calon Pakatan Harapan apabila Chan Ming Kai (PKR-PKR) memenangi kerusi itu dengan majoriti 15,200 undi selepas memperoleh 32,475 undi.

Chan menewaskan calon BN Yoo Wei How dan calon PAS Muhammad Aminur Shafiq Mohamad Abduh yang masing-masing mendapat 14,181 undi dan 17,275 undi.

Seramai 65,096 pemilih berdaftar di Parlimen Alor Setar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi hari ini. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com