Ahli BN Usah Sabotaj Calon Kerana Bangsa - KJ


PORT DICKSON - Ahli Barisan Nasional (BN) perlu mengundi simbol 'dacing' untuk memastikan parti terus memerintah, tanpa mengambil kira bangsa mahupun calon yang bertanding.

Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata ada ahli parti yang mensabotaj dengan mengundi pembangkang hanya kerana bangsa calon sehingga menjadi antara punca BN tewas di Parlimen Port Dickson pada dua pilihan raya umum (PRU) lalu.

"Saya hendak mengingatkan, yang penting kita kena memastikan BN yang terdiri daripada pelbagai kaum, terus memerintah dan bukan pembangkang yang tiada melakukan apa-apa sejak 10 tahun lalu di Parlimen Port Dickson ini.

"Tempoh 10 tahun bukan masa singkat. Kita yang rugi kerana pembangkang tidak bersuara pun di Parlimen. Cukuplah, pada PRU-14 ini, pastikan kita mengundi BN di DUN dan Parlimen Port Dickson," katanya ketika berucap pada Program Bersama Pemimpin di Bagan Pinang di sini, malam kelmarin.

Yang turut hadir, kedua-dua calon BN bagi kerusi Parlimen Port Dickson, Datuk VS Mogan, dan DUN Bagan Pinang, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar.

Khairy Jamaluddin berkata, sentimen perkauman bukan budaya BN yang ahlinya sudah sekian lama bergandingan dalam suasana seperti keluarga besar.

"Pada PRU-13, BN kalah dengan majoriti tipis di kawasan ini akibat salah faham kononnya calon kita orang luar (Rembau), sedangkan calon mereka (pembangkang) orang luar juga, inilah permainan licik pembangkang.

"Walaupun kalah, lima tahun beliau (Mogan) tidak meninggalkan kawasan ini, malah membuka pusat khidmat untuk terus berbakti kepada rakyat tanpa mengira kaum.

"Oleh itu, saya menyeru orang Port Dickson untuk mengembalikan kerusi Parlimen ini kepada BN," katanya.

Sumber:BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com