Acar Ikan Talang Masin Milik Peniaga Dari Sungai Petani Dapat Permintaan


SUNGAI PETANI - Peniaga nasi lemak, di sini, mengambil kesempatan bulan Ramadan untuk mendapatkan sumber pendapatan sampingan dengan menjual acar ikan talang masin.

Malah, Nasirah Salehuddin, 34, tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang semakin bertambah hari demi hari sehingga menerima lebih 200 tempahan setiap hari.

Nasirah berkata, dia yang mula menjual secara dalam talian sejak Ramadan tahun lalu tidak menyangka acar ikan talang masinnya ditunggu-tunggu oleh pelanggannya Ramadan kali ini.

"Acar ini saya jual hanya pada bulan Ramadan sahaja. Saya tidak menyangka percubaan kali pertama tahun lalu membuatkan acar ikan talang masin ini dinanti-nantikan pelanggan tahun ini.

"Tahun ini saya membuka tempahan lebih awal iaitu tiga minggu sebelum berpuasa dan sehingga kini lebih 2,000 bekas acar ikan talang masin terjual di seluruh negara," katanya ketika ditemui di kediamannya di Bandar Puteri Jaya di sini, baru-baru ini.

Nasirah berkata, idea menghasilkan acar ikan talang masin itu datang apabila dia memikirkan kesibukan kaum ibu menyediakan juadah berbuka puasa dan bersahur buat keluarga.

"Sebelum ini saya masak acar ini untuk keluarga sahaja dan ia memudahkan saya menyediakan juadah berbuka atau bersahur buat keluarga sekiranya tidak sempat untuk memasak.

"Jadi saya kongsikan bersama orang ramai kerana acar ini bukan sahaja dapat membangkit selera makan tetapi mudah disediakan kerana tidak perlu dimasak," katanya.


Katanya, kuah acar itu dimasak sekurang-kurangnya lima jam bagi memastikan acar dapat disimpan dalam tempoh yang lama tanpa perlu dimasukkan ke dalam peti sejuk.

Dia yang dibantu suaminya, Mohd Nazry Saleh, 41, akan memasak sekurang-kurangnya empat kuali besar acar dan memerlukan kira-kira 10 kilogram isi ikan talang masin setiap hari.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia menggunakan isi ikan talang masin berbanding isi ikan lain disebabkan ramai yang menggemari ikan itu selain mempunyai isi banyak.

Dia tidak kisah biarpun isi ikan talang masin dikatakan dijual dengan harga tinggi di pasaran, tetapi dia menjual dengan harga murah, asalkan pelanggannya dapat menikmati acar yang diwarisi daripada arwah neneknya itu.

"Bagi saya, biar saya dapat untung sedikit asalkan acar ini sentiasa diingati dan ditunggu pelanggan setiap kali Ramadan tiba," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com