6 Cedera Lori Pasir Rempuh 16 Kereta Di Alor Setar


ALOR SETAR - Enam cedera apabila sebuah lori pasir merempuh 16 kenderaan lain di Simpang Kuala di sini.

Sebahagian besar kenderaan terbabit rosak teruk dalam kejadian berdekatan jejambat di situ kira-kira jam 4 petang.

Saksi, Mohd Nazli Abdul Wahab, 42, berkata beliau mendengar bunyi hon lori pasir itu berkali-kali sebelum bunyi dentuman kuat mengakibatkan 16 kenderaan lain yang sedang menunggu di lampu isyarat itu remuk akibat rempuhan kuat.

"Saya syak mungkin lori itu mengalami masalah brek tetapi tidak sempat berbuat apa-apa menyebabkan kemalangan berlaku," katanya.

Enam mangsa dilaporkan cedera manakala yang lain selamat walaupun beberapa kenderaan terbabit remuk teruk.

Mohd Nazli berkata, ketika kejadian dia yang sedang berehat di rumahnya di Flat Simpang Kuala terkejut apabila terdengar rempuhan kuat akibat kemalangan itu.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, dia nampak mangsa yang menaiki Iswara Aeroback yang paling teruk dirempuh lori berkenaan melambaikan tangan meminta tolong.

"Orang ramai cuba membantu menenangkan mangsa sehinggalah pasukan bomba tiba di lokasi untuk membantu mengeluarkannya.

"Mangsa yang lain pula masing-masing turut dibantu orang awam untuk keluar dari kenderaan mereka sebelum dibawa ke hospital," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Penolong Penguasa Bomba Firdaus Isa berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.01 petang dan tiba di lokasi jam 4.04 petang.

Beliau berkata, seramai enam anggota bersama sebuah jentera tiba di lokasi untuk membantu mengeluarkan seorang daripada mangsa yang tersepit.

"Bomba mengeluarkan mangsa, Nurdiana Omar, 26, yang berasal dari Tobiar, Pendang yang menaiki kereta jenis Iswara Aeroback yang remuk teruk di hadapan lori itu.

"Bagaimanapun mangsa hanya luka di tangan dan badan kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk mendapatkan rawatan manakala lima mangsa lain berusia antara 30-an hingga 40-an turut dibawa ke hospital akibat kecederaan dialami.

"Selepas itu anggota kami membuat pemeriksaan semula untuk memastikan tiada mangsa lain berada dalam kenderaan itu," katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin mengesahkan menerima laporan itu dan kemalangan itu membabitkan 17 kenderaan.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com