6 Cedera, Bas Terjunam Dalam Longkang


KEPALA BATAS - Seorang pemandu dan lima penumpang cedera selepas bas dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang di Jalan Permatang Manggis, di sini, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, bas yang datang dari arah Taman Teluk Air Tawar Indah itu dikatakan hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Nor, berkata bas terbabit turut melanggar tiang elektrik sebelum masuk ke dalam longkang berhampiran.

"Pemandu bas terbabit yang berusia 32 tahun cedera di dahi dan bahu kanan serta masih tidak sedarkan diri, manakala seorang penumpang berusia 29 tahun pula luka di siku kanan serta sakit di pinggang. Kedua-duanya kini dirawat di Hospital Kepala Batas.

"Empat lagi penumpang berusia 20 tahun hingga 62 tahun pula cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, semalam.

Beliau berkata, polis sedang mengenal pasti punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com