"50 Peratus Tambah Satu Undi, Sudah Cukup" - Nazri Aziz Guna Formula Tun M


LUBOK MERBAU - Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yakin Barisan Nasional (BN) mampu mengekalkan kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubok Merbau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau menegaskan, antara faktor kemenangan adalah disebabkan calon BN di DUN itu, Dr Jurij Jalaluddin, merupakan anak tempatan selain menjadi pengetua di SM Ad-Diniah Islamiah, Kg Lalang di sini selama lebih 20 tahun.

"DUN Lubok Merbau ini secara tradisionalnya merupakan satu DUN yang diletakkan calon-calon berlatar belakang agama, di mana sebagai contoh, Allahyarham Datuk Mohd Asri belajar di Maahad Al-Yahyawiyah.

"Faktor kedua ialah apabila ada tiga penjuru. Ini bermakna peluang itu lebih cerah sedikit, apatah lagi Dr Jurij anak jadi tempatan. Daripada semua aspek, saya lihat calon BN punyai peluang besar untuk menang. Sememangnya hot seat.

"Saya tengok suasana sekarang ini pun kalau kita rasai sendiri di peringkat akar umbi, saya rasa tidak setegang tahun 2008 dan 2013. Pertandingan (PRU14) ini pun, kita rasa secara persahabatan, tiada provokasi," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini, kelmarin.

Ditanya apakah sasaran majoriti yang beliau tetapkan pada untuk DUN ini, Mohamed Nazri menjawab yang penting adalah kemenangan.

"Daripada firasat saya, InsyaAllah kita (BN) boleh menang. Saya tidak ada rasa bimbang, tanpa kita bercakap besar. Saya sebagai orang lama, keadaan cukup baik.

"Cukup sekadar memang, (majoriti) cukup-cukup makan. Macam Tun Dr Mahathir kata dulu, dia ajar saya. Kata Tun M, dalam PRU ini, apa yang perlu adalah 50 peratus tambah satu undi.

"Itu sahaja yang diperlukan dan kita mendapat lima tahun. Kita tak penting populariti. Apa yang penting ialah kita menang dan ini memberi kesempatan untuk kita berkhidmatan kepada rakyat," ujarnya yang bakal mempertahankan kerusi Parlimen Padang Rengas buat penggal keenam.

Pada PRU13, DUN Lubok Merbau yang terletak dalam Parlimen Padang Rengas dimenangi Datuk Siti Salmah Mat Jusak (BN) dengan majoriti 53 undi selepas kerusi itu tewas pada PRU12 ditangan Mohd Zainudin Mohd Yusof (PAS) dengan majoriti 72 undi.

Sumber: Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com