50 Ekor Buaya Hidup Dari Malaysia Dirampas Pihak Berkuasa UK


LONDON - Pihak berkuasa Britain merampas kargo berisi 50 ekor buaya yang masih hidup di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, kata Pasukan Sempadan United Kingdom (UK) semalam.

Buaya air masin berusia setahun itu ditemui disumbat di dalam lima buah kotak yang dibawa dari Malaysia.

Haiwan berkenaan dipercayai akan dihantar ke sebuah ladang di Cambridgeshire, timur England untuk dibiakkan, khusus bagi menghasilkan daging.

Kesemua buaya itu bagaimanapun tidak disimpan mengikut peraturan antarabangsa, menyebabkan ia dianggap sebagai menyalahi undang-undang.

Ketua Pasukan Konvensyen Perdagangan Hidupan Terancam Antarabangsa Sempadan (CITES), Grant Miller berkata, setiap kotak seharusnya hanya mengandungi empat ekor buaya.

"Kotak yang dirampas itu mengandungi 10 ekor buaya setiap satu dan perbuatan membawa masuk haiwan berkenaan dalam cara ini tidak boleh diterima.

"Kesemua haiwan terbabit sudah mula bergaduh sesama sendiri kerana ruang yang sempit sepanjang penerbangan," katanya ketika ditemui di Heathrow.

Kargo berisi buaya itu ditemui pada 27 April lalu dan sepanjang tempoh itu, seekor daripadanya telah mati manakala sembilan yang lain diberikan penjagaan rapi sebelum dipindahkan ke habitat lebih sesuai. - AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com