399 Pekebun Kecil Risda Kedah Terima Dividen RTBB Berjumlah Lebih RM900,000


SUNGAI PETANI - Seramai 399 pekebun kecil Pihak Berkuasa  Kemajuan Pekebun  Kecil Perusahaan Getah (Risda) di Kedah menerima dividen Rancangan Tanaman Baharu Berkelompok (RTBB) bagi tahun lepas itu berjumlah RM908,020.

Pengerusi  Risda Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata dividen itu adalah sebahagian daripada jumlah yang telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis peringkat nasional yang berlangsung di Temerloh, Pahang pada 2 April lepas.

"Perdana Menteri telah mengumumkan sejumlah RM112.33 juta dividen keseluruhan Risda untuk 2017 dengan pecahan RM39.59 juta bagi dividen RTBB dan RM72.73 juta untuk dividen TSK (Tanam Semula Komersial)," katanya kepada  pemberita selepas menyerahkan  replika cek dividen itu kepada Pengarah Risda negeri ini Ramlie  Tumin di sini.

Turut hadir Anggota Pihak Berkuasa Risda Datuk Shahanim Mohamad Yusoff.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM36 juta kepada Risda Kedah untuk tahun ini bagi menjayakan program pembangunan Risda seperti tanam semula, keusahawanan, insentif produktiviti getah dan lain-lain

Dalam perkembangan lain, Zahidi berkata Risda merancang untuk melaksanakan program penanaman penanaman  pokok  jenis 'Sacha  Inchi' dalam usaha meningkatkan pendapatan isteri pekebun kecil yang tidak bekerja.

"Sekarang ini Risda Ventures Sdn Bhd sedang menjalankan tanaman percubaan, kemudian benih kita akan bagi, dan saya ingat akan mula dalam tempoh dua bulan ini yang mana anggaran kita, mereka boleh mendapat pendapatan antara RM200 hingga RM300 sebulan hasilnya nanti," katanya.

 Pokok itu mempunyai buah berbentuk seperti biji getah yang mengeluarkan minyak jenis Omega 3, Omega 6 dan Omega 9 yang berfungsi untuk memulihkan tenaga serta kesihatan badan.

Sementara itu, ibu tunggal antara penerima dividen RTBB itu, Raayah Shafie, 63, berkata pemberian dividen itu yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban perbelanjaannya sekeluarga khususnya menjelang Ramadan tidak lama lagi.

"Saya rasa bersyukur dan gembira hari ini apabila Risda membuat agihan dividen lebih awal, dapatlah saya membuat persiapan awal menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Dividen Risda peringkat negeri di Dewan Institut Kemahiran Mara Sungai Petani di sini.

Seorang  lagi pekebun kecil, Shamsudin Saad, 68, berkata, dia merupakan generasi kedua Risda yang mendapat manfaat berkenaan.

"Jika dahulu, tidak banyak dividen yang diterima namun kini, dividennya mencecah ribuan ringgit," katanya.

Bagi Shuib Mat Darus, 88, pula berhasrat agar cucunya menjadi generasi ketiga meneruskan tanaman kelapa sawit yang diusahakannya sejak lebih 10 tahun lalu.

"Saya merupakan generasi pertama...bermula  dengan tanaman getah pada tahun 1980-an di atas tanah seluas lapan ekar, sebelum diganti dengan tanaman kelapa sawit," katanya yang kebunnya kini diambil alih anaknya.- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com