25 Penagih Ditahan Ketika Gian Di Gurun


GURUN - Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menahan 25 penagih dadah dalam satu operasi bersepadu di kebun kelapa sawit, Guar Nenas, dekat sini, pagi kelmarin.

Ketua AADK Daerah Kuala Muda, Shamshuri Yusoff, berkata mereka yang berusia antara 19 tahun hingga 65 tahun itu ditahan ketika leka menagih.

Katanya, beberapa bungkusan plastik lutsinar mengandungi serbuk berwarna kuning dipercayai dadah jenis opiat yang ditemui dalam serbuan, turut dirampas.

"Ini menunjukkan terdapat tokan yang menjalankan aktiviti jual beli dadah di lokasi terbabit.

"Ketika serbuan, tokan yang menyedari kehadiran pihak AADK lari ke lebuh raya dengan melangkah pagar kebun kelapa sawit," katanya dalam kenyataan media, kelmarin.


Serbuan bermula jam 8.30 pagi dan berakhir jam 11 pagi itu disertai seramai 10 anggota AADK dan dibantu oleh empat anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Shamshuri berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat AADK Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut.

"Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan, kesemua mereka didapati positif dadah jenis opiat dan methamphetamine. Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com