1MDB: Seng Giaw Minta Kerajaan PH Siasat Ikut Undang-Undang, Bukan Siar Berita Tidak Benar


Kerajaan Pakatan Harapan seharusnya menjalankan siasatan terhadap kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) secara telus tanpa sebarang agenda untuk mempolitikkan isu berkenaan.

Bekas Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw berkata, siasatan kes berkenaan perlu dibuat berlandaskan undang-undang, namun apa yang berlaku pada masa ini agak berlainan yang mana sidang akhbar berkaitan kes itu dilakukan dengan meluas walaupun bukti kes belum dibawa ke mahkamah.

“Siasatan 1MDB perlu telus, kita kena bezakan antara siasatan dan siaran berita, kalau jemput untuk buat sidang akhbar itu bukan siasatan.

“Kalau kita ingin mendaulatkan undang-undang apabila kita siasat dan jumpa bukti yang kukuh bawa ke mahkamah bukan sekadar buat siaran berita,” katanya yang dipetik daripada Utusan Malaysia 

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull mendedahkan mengenai pengalamannya sepanjang mengetuai siasatan skandal SRC International Sdn. Bhd. dalam satu sidang akhbar di Putrajaya baru-baru ini.

Bagaimanapun, tindakan ­Mo­hd. Shukri itu ditegur Pengerusi Jawatankuasa Siasatan 1MDB, Tan Sri Abu Talib Othman yang menasihatkannya untuk tidak mengeluarkan sebarang ke­nya­taan awam sepanjang tempoh siasatan dijalankan.

Menurut Seng Giaw, isu berkaitan 1MDB mendapat perhatian yang meluas daripada rakyat, malah isu tersebut juga telah berjaya membuatkan kerajaan Pakatan Harapan me­numbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Saya sendiri beri perhatian kepada isu 1MDB, kerajaan perlu elak daripada siarkan berita-berita tidak benar yang boleh pesongkan rakyat.

“Kerajaan perlu tunjukkan pentadbiran yang cekap de­ngan mendaulatkan undang-undang,” katanya.

Sumber:Utusan

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com