18 Tingkap KTMB Ada Simbol BN, Najib Pecah Dibaling Batu


ALOR SETAR - Sebanyak 18 tingkap Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang memaparkan simbol Barisan Nasional (BN) serta wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pecah akibat dibaling batu oleh individu tidak dikenali.

Menurut memaklumkan kereta api itu dalam perjalanan dari Sentul, Kuala Lumpur ke Tanjung Malim, Perak dibaling dengan batu hingga menyebabkan 18 cermin pada tingkap tren pecah hingga ia tular di media sosial.

Menurut Pengerusi KTMB, Datuk Ir Nawawi Ahmad, beliau tidak dapat memastikan sama ada kejadian tersebut ada kaitan dengan simbol dacing dan juga wajah perdana menteri.

“Saya tak pasti itu (logo dacing dan wajah Najib) antara punca, hidup kita bukan semua orang suka, bukan semua orang tak suka tapi kes ini saya nak minta masyarakat lebih berfikiran terbuka, jangan gunakan emosi untuk hancurkan barang-barang kerajaan kerana tingkap tu mahal.

“Kalau (KTMB) dapat tangkap orang tu saya minta diberi hukuman secukupnya, hukuman berat kerana rosakkan harta benda kerajaan,” katanya memetik Sinar Online.


Beliau mengulas kejadian tersebut kepada pemberita selepas Majlis malam santai industri pelancongan Langkawi di Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi, Jumaat malam.

Sementara itu, KTMB menerusi kenyataannya kelmarin memohon orang ramai terutamanya dalam musim pilihan raya supaya tidak melakukan vandalisme kerana ia akan membahayakan keselamatan penumpang-penumpang, kru, dan pemandu perkhidmatan syarikat pengangkutan awam itu.

KTMB juga menegaskan tindakan undang-undang boleh diambil kepada pihak yang tidak bertanggungjawab dibawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), Seksyen 130, di mana jika disabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM50,000 dan 20 tahun penjara.

Nawawi yang juga calon BN Parlimen Langkawi menggesa orang ramai yang menetap berhampiran landasan keretapi untuk lebih bersikap bertanggungjawab.

"Mereka lebih bertanggungjawab, jangan membaling batu kerana membahayakan penumpang, merosakkan harta kerajaan dan tindakan boleh diambil.

“Saya akan maklumkan kepada pengurusan untuk kenal pasti lokasi-lokasi yang ada masalah ini dan kita akan hantar keselamatan kita untuk buat tindakan dan semakan,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com