18 Inisiatif Untuk Orang Langkawi, Inilah Yang Kami Tunggu Selama Ini - Nor Saidi


LANGKAWI - 18 inisiatif pembangunan Pulau Langkawi dalam tempoh 5 tahun akan datang yang diumumkan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak melambangkan Pulau Langkawi terlalu istimewa di hati beliau.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuah, Nor Saidi Nanyan berkata, 18 inisiatif berkenaan jelas bakal melibatkan penyertaan rakyat Langkawi dalam agenda pembangunan pulau Lagenda itu.

"Pembangunan yang bersifat inklusif ini perlu disertai oleh rakyat Langkawi, terutamanya golongan B40.

"Penduduk Langkawi kini masih lagi di peringkat pekerja. Jadi dengan 18 inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri semalam, ia bermaksud orang Langkawi bukan lagi menjadi penonton, pekerja atau penumpang pembangunan yang pesat ini, tapi akan terlibat secara langsung," katanya kepada Kedahnews.com, di sini petang tadi.

Beliau berkata, hub perniagaan yang diumumkan Perdana Menteri misalnya akan menyaksikan penyertaan secara langsung penduduk tempatan di mana secara langsung akan menyediakan peluang meningkatkan ekonomi rakyat Langkawi.

Nor Saidi berkata, inisiatif Mohd Najib yang memperuntukkan RM100 juta dalam bentuk pinjaman dengan kadar faedah serendah 5 peratus, di mana 2 peratus daripadanya dibiayai kerajaan menjelaskan betapa penduduk Langkawi begitu istimewa di hati Perdana Menteri.

"Saya ingat 3 peratus ini adalah antara paling rendah yang ditawarkan. Penjawat awam pun kalau pinjam kepada kerajaan perlu membayar 4 peratus.

"Inilah yang diperjuangkan oleh pemimpin BN bagi memastikan penyertaan penduduk tempatan di dalam industri pelancongan di Langkawi," ujar beliau lagi.

Justeru itu, Nor Saidi menyifatkan bahawa 18 inisiatif yang diumumkan Mohd Najib semalam terbukti menjelaskan komitmen beliau untuk terus memacu pembangunan di pulau lagenda ini dalam tempoh 5 tahun secara menyeluruh.

"Pada saya, semua inisiatif yang beliau umumkan semalam adalah suatu yang berada 'di luar kotak', cukup luar biasa dan merupakan satu tawaran yang amat memberi kesan yang terbaik untuk kita," katanya.

Dalam pada itu, beliau yakin rakyat Langkawi tidak akan mempersia-siakan segala yang dijanjikan Perdana Menteri dan akan terus memberi mandat kepada BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.


Nor Saidi ditemui ketika menyantuni penduduk Kedawang di perlawanan separuh akhir kedua Liga Bola Sepak Mukim Kedawang 2018, di antara pasukan Chandek Kura Senior FC menentang pasukan PIBG SKT di Padang Bola Sepak SMK Kedawang.

Program sukan bola sepak anjuran Nor Saidi itu mendekatkan beliau dengan penduduk Kuah sekali gus merapatkan silaturrahim sesama masyarakat setempat. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com