18 ‘Buah Tangan’ BN Bagi Langkawi Diterima Baik


LANGKAWI – Penduduk dan penggiat industri pelancongan di sini menyambut baik 18 ‘buah tangan’ yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu kunjungan singkat ke Langkawi pada Jumaat untuk membawa pulau legenda ini ke tahap lebih maju dalam tempoh lima tahun akan datang.

‘Buah tangan’ itu yang merangkumi pembangunan berkaitan industri pelancongan turut melibatkan infra rakyat, pengurusan, pelesenan kenderaan dan pengangkutan selain menaik taraf akademi latihan, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan membawa masuk lebih banyak penerbangan terus dari negara-negara lain.

Sewaktu mengumumkan inisiatif itu di majlis Santai Industri Pelancongan Langkawi, Najib acapkali mengangkat jari telunjuk tangan kanannya mengingatkan rakyat bahawa kerajaan tidak akan berhenti membangunkan Langkawi yang berpenduduk 150,000 orang.

Menyentuh mengenai inisiatif yang diumumkan perdana menteri itu, Pengerusi Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) Rosli Yahya berkata pihaknya menyambut baik usaha kerajaan untuk menaik taraf akademi pelancongan di Langkawi memandangkan taraf latihan sektor pelancongan di pulau ini masih lagi rendah.

Nada yang sama dizahirkan Pengerusi Persatuan Nelayan Langkawi, Mahfdzir Ibrahim, 62, yang menyifatkan inisiatif berupa bantuan pinjaman kewangan selain elaun untuk nelayan meraih pendapatan sambilan daripada industri pelancongan perlu direbut dan mereka tidak boleh ketinggalan dalam mendapatkan peluang yang terhidang ini.

Pengerusi Pertubuhan Usahawan Bumiputera Langkawi Yusof Zakaria pula berkata insentif berkaitan lesen dan bantuan pinjaman bank telah menaikkan semangat peniaga-peniaga bagi memulakan, menambah mahupun memperluas perniagaan berkaitan industri pelancongan.

“Pendapat saya, memang bagus untuk mulakan perniagaan. Sebelum ini, sebagai contoh, kalau peniaga gerai tepi jalan dapat RM5,000 memang tidak cukup. Kalau RM10,000 ke atas memang cukup sesuai untuk menampung perniagaan, memang terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pemandu teksi Saad Mahmud berkata keprihatinan kerajaan terhadap masalah pemandu teksi berkaitan persaingan mengambil penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi sememangnya harus dipuji.

“Mengambil penumpang ini ada peraturan seperti pakaian, disiplin, pemanduan dan sebagainya. Tidak boleh sambil lewa sebab kita bawa imej Langkawi di mata dunia,” katanya yang menyambut baik inisiatif yang hanya membenarkan pemandu teksi sahaja berada di lapangan terbang.

Di mata Najib, transformasi yang baik mampu mengangkat dan memajukan agenda rakyat negara ini namun ia memerlukan sokongan dan dokongan yang tidak berbelah bahagi bagi kerajaan yang memerintah.

Namun jika ingin dibandingkan, inisiatif berbentuk transformasi ini jelas berbeza antara langit dan bumi dengan jaminan calon pembangkang di Langkawi yang juga bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang lebih berminat menyentuh mengenai pembaharuan untuk pulau ini tanpa menyatakannya dengan lebih terperinci.

Dr Mahathir dalam satu surat kepada penduduk Langkawi selain ucapannya di laman media sosial baru-baru ini berpesan supaya mereka memilih pemimpin yang akan mempertahankan hak dan masa depan pulau ini namun tidak mahu berjanji apa-apa jika beliau dipilih.

Kunjungan Najib ke pulau legenda untuk kali ketiga tahun ini juga meninggalkan memori manis apabila di angkat dan dianugerahkan sebagai Bapa Transformasi Pelancongan oleh penggiat industri di sini, atas usaha dan inisiatifnya membawa masuk lebih banyak pelancong ke Langkawi sejak dilantik menjadi perdana menteri kira-kira 10 tahun lepas.

Sebelum itu, Najib turut meluangkan masa kira-kira setengah jam di Telaga Walk di Jalan Chenang, tempat berlangsungnya klinik keusahawanan anjuran bersama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia dan SME Corp bersama-sama ribuan masyarakat setempat.

Menurut calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad, kehadiran Najib di kawasan itu bukan sahaja menyebabkan parkir penuh hingga ke kawasan lapang kerbau berteduh malah turut memeriahkan lagi pelbagai acara dan aktiviti dianjurkan selain menghebatkan lagi gerak kerja jentera BN dalam musim PRU ini. Konvoi pergerakan Najib juga diserbu orang ramai yang tidak putus-putus ingin bergambar dengannya.

BN menghadapi pertandingan tiga penjuru bagi kerusi Parlimen Langkawi, apabila penyandang kerusi berkenaan, Nawawi, dicabar Dr Mahathir atas tiket PKR-PPBM, dan calon PAS Zubir Ahmad. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com