12 Tan Coklat Beku Limpah Lebuh Raya


WARSAW – Sebuah trak membawa 12 tan cecair coklat dilaporkan terbalik di lebuh raya di Poland, menyebabkan lalu lintas terhalang dan menyukarkan kerja pembersihan jalan.

Kejadian berlaku awal pagi kelmarin di lebuh raya A2 yang menghubungkan Poznan dan Warsaw apabila trak terbabit terbalik menyebabkan cecair coklat tumpah sehingga meliputi semua enam laluan di lebuh raya berkenaan.

Lapor USA Today memetik kenyataan Associated Press dan New York Times, badan penyiar swasta TVN24 menunjukkan imej trak itu terbalik dengan cecair coklat meliputi enam laluan lebuh raya berkenaan.

Ia sekali gus menghalang lalu lintas di kedua-dua arah. Pasukan penyelamat memberitahu, cecair coklat itu menjadi keras dan memerlukan sejumlah besar air panas untuk membersihkan lebuh raya berkenaan.

“Coklat yang mengeras itu lebih teruk daripada salji,” kata pegawai kanan bomba, Bogdan Kowalski

TVN24 melaporkan, pemandu trak berkenaan patah tangan dan dibawa ke hospital.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian memandangkan kemalangan berlaku awal pagi dan punca trak terbabit terbabas terbalik juga tidak diketahui. 

Sumber: Agensi/myMetro Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com