1000 Tetamu Terkejut 3 Calon Pembangkang Hadiri Majlis MB Kedah


ALOR SETAR - Sekitar 1000 hadirin terkejut dengan kehadiran tiga calon pakatan pembangkang yang tiba-tiba muncul pada majlis yang dirasmikan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah baru-baru ini.

Selain calon PKR bagi Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai, dua lagi ialah calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dan DUN Pengkalan Kundor, Dr Ismail Salleh.

Kehadiran mereka di dalam Majlis Jualan Amal anjuran Sekolah Menengah Persendirian Sin Min di sini turut menyebabkan ucapan wakil sekolah di pentas terhenti seketika.

Majlis diteruskan sejurus selepas mereka bersalaman dengan Ahmad Bashah yang juga calon BN bagi DUN Suka Menanti, selain calon BN Parlimen Alor Setar, Datuk Yoo Wei How.

Malah Phahrolrazi dilihat turut bersama-sama duduk di tempat yang disediakan untuk mendengar ucapan Ahmad Bashah sebelum meneruskan kempen mereka bertemu rakyat di sekolah tersebut.

Wei How ketika ditemui berkata, kehadiran calon dari pakatan pembangkang pada majlis berkenaan hanyalah secara kebetulan dan pihaknya tidak mengetahuinya kerana majlis terbabit terbuka kepada orang awam untuk hadir.

"Kita tiada masalah dengan kehadiran mereka kerana calon pakatan pembangkang bebas menjalankan kempen mereka, walaupun kita sudah berada di sini terlebih dulu.

"Majlis ini adalah majlis tahunan bertujuan mengumpul dana bagi sekolah dan ramai hadir membuatkan kami juga mahu menyertainya.

"Kita percaya, mereka (pakatan pembangkang) terutama calon bagi Parlimen Alor Setar juga mengambil kesempatan sama bertemu masyarakat di sini," katanya memetik BH Online.

Turut hadir sama dalam majlis tersebut adalah dua lagi calon BN iaitu Tan Eng Hwa (DUN Kota Darul Aman) dan Datuk Dr Cheah Soon Hai (DUN Derga).

Bagaimanapun, suasana kempen di Majlis Jualan Amal itu berlangsung penuh harmoni dengan jentera dari kedua-dua parti giat mengedarkan bahan kempen kepada pengunjung. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com