10 Makanan Yang Boleh Tingkatkan Kesihatan Mental


SETIAP kanak-kanak yang membesar pasti sudah banyak kali dinasihatkan untuk makan buah-buahan dan sayur-sayuran malah kebaikan mengambinya sudah beberapa kali diberitahu kepada anda.

Menurut kajian terbaharu yang diterbitkan di dalam jurnal akademik Frontiers in Psychology isu April, cara anda sediakan buah-buahan dan sayur-sayuran sebelum menjamu selera memainkan peranan penting terhadap kesihatan mental anda.

Para penyelidik dari Universiti Otago, New Zealand mendapati bahawa individu yang makan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran mentah, kurang mengalami masalah kemurungan, akan sentiasa berada dalam mood yang positif, serta mempunyai kepuasan hidup yang lebih besar.

Kata kuncinya di sini adalah ‘mentah’. Para pengkaji juga mendapati bahawa orang yang lebih suka makan buah-buahan dan sayur-sayuran yang telah diproses (dimasak atau dalam tin), menampilkan mood yang positif, namun tidak mengurangkan kemurungan atau memberikan kepuasan hidup.

Anda pasti tertanya-tanya bagaimana mereka mendapat kesimpulan berkenaan. Pertama sekali, para penyelidik ini melakukan kaji selidik ke atas 422 orang dewasa yang yang terdiri daripada warga Amerika Syarikat dan New Zealand.

Penyelidik kemudiannya meminta para peserta memberikan maklumat pemakanan mereka yang melibatkan buah dan sayuran mentah, dan juga yang telah diproses. Para peserta juga diminta untuk mengisi skala yang mengukur positif dan negatif kesihatan mental mereka.

Malah, mereka juga diminta untuk melaporkan gaya hidup serta informasi demografik mereka seperti status sosio-ekonomi, aktiviti sukan, tabiat merokok, indeks jisim badan (BMI) dan penggunaan alkohol kepada penyelidik.

Dengan menggunakan model statistik canggih yang membezakan gaya hidup dan perbezaan demografi antara responden, penyelidik berjaya mengasingkan kesan pemakanan buah-buahan dan sayur-sayuran terhadap kesihatan mental.

Menariknya, kajian tersebut mendapati bahawa pengambilan buah dan sayuran yang mentah menyaksikan pengurangan kepada gejala kemurungan, mood yang lebih positif, dan kepuasan hidup.

Manakala, kajian tersebut juga memutuskan bahawa pengambilan buah dan sayuran yang telah diproses hanya menjadikan mood seseorang itu lebih positif.

Bagaimanapun, ini bukan bermaksud pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang telah diproses akan membawa kemudaratan kepada diri, sebaliknya, ianya tidak memperikan impak yang banyak kepada kesihatan mental seperti yang diberikan buah dan sayuran mentah.

Dalam pada itu, para penyelidik dari unversiti berkenaan turut mengkaji makanan mentah yang baik untuk kesihatan mental. Menerusi dapatan itu, 10 makanan mentah yang boleh membantu kesihatan mental adalah:

1. Lobak

2. Pisang

3.  Epal

4. Sayuran Berdaun Gelap Seperti Bayam

5. Limau Gedang (Grapefruit)

6. Daun Salad (Lettuce)

7. Buah-Buahan Sitrus

8. Beri Segar

9. Timun

10. Buah Kiwi

Kajian terbaharu ini menunjukkan kelebihan mengambil buah-buahan dan sayuran ini secara mentah. Apa kata anda cuba dapatkan makanan-makanan ini di pasaraya terdekat. Mungkin anda juga akan merasai kesihatan mental yang lebih baik selepas ini. – Psychology Today

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com