Zon Ekonomi Khas Mampu Tingkat Pembangunan Di Kedah


ALOR SETAR – Perlaksanaan Zon Ekonomi Khas di Bukit Kayu Hitam dilihat sebagai satu potensi besar dalam melonjakkan pembangunan serta memberi limpahan sosioekonomi kepada rakyat di negeri Kedah khususnya penduduk setempat.

Namun, ia hanya mampu direalisasikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) jika terus mendapat mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Dr. Amir Hussin Baharuddin berkata, pembangunan Zon Ekonomi Khas mampu memberi kesan besar dalam jangka masa panjang serta melibatkan pelbagai sektor di negeri ini.

Tidak itu sahaja, pelaksanaan projek berskala besar itu dijangka akan melonjakkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang pada masa ini berada dalam kelompok bawah selain menawarkan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Kedah.

“Pelaksanaan Zon Ekonomi Khas di Bukit Kayu Hitam adalah lanjutan daripada apa yang dilaksanakan kerajaan BN di kawasan berkenaan. Pada masa ini, sudah banyak projek dilaksanakan seperti yang pernah dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) sebelum ini.

“Saya sendiri melihat banyak projek sedang berjalan di Bukit Kayu Hitam malah pembangunan di kawasan berkenaan juga dijangka akan berlaku lebih cepat dan hebat selepas PRU-14 kelak yang mana memberi kesan sosioekonomi yang besar kepada penduduk setempat khususnya,” katanya memetik Utusan.

Terdahulu, kerajaanKedah merancang agar Zon Ekonomi Sempadan Khas di Bukit Kayu Hitam ditubuhkan supaya dapat meningkatkan ekonomi negara menerusi projek pembangunan pelabuhan darat, bandar bebas cukai dan Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) serta pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) , di pintu sempadan Malaysia – Thailand.

Sekiranya perkara itu dapat dilaksanakan, Amir Hussin sangat berharap supaya rakyat di negeri ini khususnya penduduk setempat agar bijak merebut peluang dalam usaha meningkatkan sosioekonomi masing-masing.

“Akan ada pekan, kemudahan, perniagaan dan tarikan baharu dari aspek tarikan pelancong di Bukit Kayu Hitam sekiranya Zon Ekonomi Khas tersebut dilaksanakan. Pelaksanaan tersebut akan menjana banyak peluang pekerjaan kepada orang tempatan pada masa sama banyak peluang perniagaan boleh dijalankan.

“Bagaimanapun, rakyat negeri ini khususnya penduduk setempat perlu bijak mencari peluang. Banyak yang mereka boleh buat daripada sekecil-kecil perniagaan seperti meniaga pisang goreng, air batu campur hingga ke perniagaan yang membabitkan dua negara,” ujarnya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com