Zionis Musnahkan Terowong Hamas


GAZA - PALESTIN.Tentera rejim Zionis semalam berkata pihaknya telah meletupkan sebuah terowong milik Pergerakan Hamas yang dibina dari Semenanjung Gaza ke wilayah Israel.

Menteri Pertahanan, Avigdor Lieberman berkata terowong berkenaan adalah yang paling panjang dan dalam pernah ditemui Israel.

Terowong tersebut melintasi wilayah Israel dengan hanya beberapa meter, namun ia belum mempunyai titik keluar, kata jurucakap tentera Jonathan Conricus.

Menurutnya, terowong rentas sempadan berkenaan mungkin digunakan untuk menyerang Israel.

Penggalian terowong oleh Hamas menjadi isu utama yang mencetuskan peperangan dengan Israel pada 2014.

"Terowong tersebut digali dari kawasan Jabaliyah di utara Gaza dan ia menuju ke kawasan komuniti Nahal Oz di Israel.

"Ini adalah terowong kelima yang kami musnahkan dalam beberapa bulan kebelakangan ini," katanya.

Operasi itu dibuat selepas protes besar-besaran di sempadan Gaza sejak 30 Mac lalu yang menyaksikan pertempuran antara tentera Israel dan penduduk Palestin berhampiran pagar sempadan.

Sekurang-kurangnya 34 rakyat Palestin terbunuh dalam ketegangan tersebut manakala ribuan lagi mengalami kecederaan akibat terkena tembakan tentera Israel.

Selain menggunakan peluru getah dan gas pemedih mata, tentera Israel turut didakwa menggunakan peluru hidup bagi menyuraikan penunjuk perasaan.

Tindakan Zionis berkenaan mendapat kecaman masyarakat antarabangsa, namun mendapat ''lampu hijau' sekutu kuatnya iaitu Amerika Syarikat.

Lieberman sebelum ini menegaskan peraturan menembak secara terbuka di sempadan Gaza yang menyaksikan anggota tentera Israel membunuh puluhan penduduk Palestin tidak akan diubah.

Lieberman berkata, sebarang provokasi akan dibalas dengan tindakan itu, seperti yang berlaku pada minggu lalu.

"Kami tidak bercadang untuk mengubah peraturan berkenaan,’’ katanya. 

Sumber- AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com