Yoga Kuatkan Sistem Pernafasan


SENTUHAN perlahan dengan kesan memberangsangkan dalam usaha melancarkan sistem pernafasan antara faktor utama senaman yoga memberi kesihatan menyeluruh kepada kecergasan badan.

Senaman ini walaupun hanya sekadar melakukan pergerakan perlahan dengan tarikan dan hembusan nafas secara lembut, namun memberikan ketenangan setiap kali anda melakukannya.

Sesi senaman antara 30 minit hingga satu jam ini dipenuhi dengan pelbagai pergerakan tanpa paksaan. Proses menarik dan menghembuskan nafas memperkemaskan sistem respiratori bagi melancarkan pernafasan.

Seorang pengamal yoga, Ariffin Ujang, 51, berkata sesi ini walaupun singkat namun pengisiannya padat dalam meningkatkan kecergasan badan.

Beliau yang mengendalikan sesi yoga kepada tetamu Hotel Renaissance Kuala Lumpur pada hujung minggu, berkata sesi sama juga disediakan pada hari biasa selepas waktu pejabat, mendapat sambutan menggalakkan daripada warga kota.

Maklum balas peserta mendapati mereka mendapat banyak manfaat daripada senaman yoga antaranya:

Mengurangkan tekanan dan menstabilkan emosi

Setiap pergerakan dalam yoga itu sendiri menggunakan sistem pernafasan yang sempurna. Membantu meningkatkan pengaliran oksigen terus masuk ke dalam otak, menjadikan anda lebih ceria dan bersemangat.

Tingkat keyakinan diri

Gerakan dalam yoga antaranya pose satria membenarkan minda bertindak sebagai individu kuat. Senaman berupaya meningkatkan keberanian, elakkan rasa takut dengan melemparkan elemen negatif dalam diri untuk terus bersemangat.

Mengurangkan risiko kecederaan

Gerakan dalam senaman yoga perlahan dan mengambil masa. Ketika melakukan sesi berdiri tegak atau Tadasana gunung, anda mungkin kelihatan berdiri biasa, namun pada masa sama cara ini membentuk disiplin berdiri sempurna mengikut posture badan yang betul.

Turunkan berat badan

Mengurangkan berat badan berlebihan, masalah bukan hanya disebabkan pengambilan makanan semata-mata tekanan dan ketidakseimbangan hormon juga antara faktor. Senaman yoga menjadikan anda lebih tenang dan proses menurunkan berat badan lebih mudah.

Tingkat kesihatan otot

Banyak pergerakan dalam yoga memerlukan kekuatan otot tangan kaki dan abdomen. Kekuatan ketiga-tiga bahagian itu meningkatkan kecergasan yang membawa kepada kesan pembentukan otot lebih sihat.

Menyelaras sistem pernafasan, stabil tekanan darah

Elemen asas yoga, bernafas perlahan secara sistematik meningkatkan keupayaan paru-paru berfungsi dengan sempurna. Sesi ini meningkatkan stamina dengan menstabilkan degupan jantung selain membantu mengurangkan tekanan darah.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com