Wujud Masalah Muktamadkan Calon, PKR Kedah Masih Berteka-Teki


ALOR SETAR - Pengumuman calon PKR yang mewakili Pakatan Harapan (Harapan) bertanding 10 kerusi Parlimen dan Dun di Kedah sehingga hari ini masih berteka-teki.

Menurut Pengerusi PKR Kedah, Dr Azman Ismail berkata, nama calon bertanding akan diumumkan pimpinan secepat mungkin dan dalam masa terdekat.

Jelasnya, kelewatan PKR mengumumkan calon parti itu, berbanding rakan gabungan di bawah Harapan adalah disebabkan ada sedikit perubahan di saat-saat akhir.

“Difahamkan, ada perubahan beberapa kawasan atas sebab tidak dapat dielakan. Jadi, apabila berubah satu kawasan, maka kawasan lain pun berubah.

“Bagaimanapun, saya boleh katakan bahawa senarai nama setakat ini sudah lebih 90 peratus siap dan akan diumumkan tidak lama nanti,” katanya memetik Sinar Online.

Katanya lagi, calon yang bakal ditampilkan menggabungkan yang lama dan baru.

Dalam isu yang sama, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, turut mengakui wujud ‘masalah kecil’ untuk memuktamadkan calon parti itu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Difahamkan, Harapan Kedah menggunakan formula 14-10-10-2, iaitu Bersatu-Amanah-PKR-DAP untuk pembahagian kerusi Dun.

Pada 13 April, Amanah mengumumkan 10 calon bertanding di Dun dalam PRU14 di Ceramah Perdana Bekas ‘Singa’ Pas bersama Naib Presiden Parti, Husam Musa, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar di Jalan Hutan Kampung.

Sementara itu, Pengerusi Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan 14 calon Bersatu bertanding di Kedah dalam Jelajah Harapan Langkawi di Langkawi pada 15 April.

Keesokannya, pengumuman nama dua calon DAP bertanding di Dun Derga dan Kota Darul Aman diumumkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Sehingga kini, hanya PKR satu-satunya parti komponen dalam Harapan yang belum mengumumkan calon bertanding dalam PRU14 pada 9 Mei nanti. - Kedahnews.com

#PRU14
#TolakDAP
#PakatanDAP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com