Wartawan Ditemui Mati Dedah Rahsia Tentera Rusia


SEORANG wartawan Rusia meninggal dunia selepas `terjatuh’ dari balkoni pangsapurinya, setelah beberapa minggu mendedahkan mengenai tentera upahan Rusia yang digunakan untuk berjuang bagi pihak presiden Syria, Assad Bashar.

Maksim Borodin, 32, ditemui tidak sedarkan diri di luar pangsapurinya di bandar Yekaterinburg, di timur pergunungan Ural di Rusia pada 12 April lalu dan meninggal dunia semalam.

Menurut laporan RadioFreeEurope, polis mengesyaki kematian Maksim akibat bunuh diri. Bagaimanapun editor Novy Den (New Day), Polina Rumyantseva percaya Maksim tidak membunuh diri.

Manakala rakan Maksim, Vyacheslav Bashkov mendedahkan dia menerima panggilan daripada Maksim pada pukul 5 pagi sehari sebelum ditemui mati.

Maksim, katanya, dalam suara yang cemas memberitahu dia dikelilingi oleh sekumpulan lelaki yang bersenjata di balkoni.

“Dia memerlukan peguam, sebab itu dia menghubungi saya. Suara Maksim adalah jelas, bukan histeria atau mabuk. Saya dengan segera menganggap ia sebagai serius dan berjanji untuk menghubungi sesiapa yang boleh membantu,” katanya.

Sejam selepas itu, Maksim menghubunginya semula dan memberitahu ia adalah kesilapan serta meminta maaf. Maksim memberitahu lelaki bersenjata itu hanya menjalani latihan di situ.

“Saya tidak menghubunginya lagi selepas itu walaupun saya menunggu dia menulis sesuatu dalam Facebook,” katanya yang meminta siasatan dijalankan.

Baru-baru ini, Maksim mendedahkan mengenai tentera upahan Rusia dikenali sebagai Kumpulan Wagner telah bertempur untuk Bashar di Syria. Beliau memberitahu beberapa anggota kumpulan itu telah terbunuh dalam pertempuran berkenaan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com