Warga Emas Rugi RM40,000 Gara-Gara Batu Sakti


KUANTAN – Seorang wanita warga emas mengalami kerugian RM40,000 selepas terpedaya dengan tawaran batu delima yang didakwa mempunyai kesaktian oleh tiga lelaki pada 1 tengah hari kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Wazir Yusof berkata ketika berada di hadapan sebuah pasar di Triang mangsa, 63 tahun telah ditegur oleh tiga lelaki yang berusia lingkungan 40 dan 50-an.

“Suspek telah berpura-pura untuk mencari individu yang dikenali sebagai Haji Yusof untuk menjual sebutir batu delima yang didakwa mempunyai kesaktian.

“Bagaimanapun setelah diterang mengenai kesaktian batu itu, mangsa bersama suaminya telah berminat untuk membeli barang berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa bersama suami kemudian telah pergi mengeluarkan wang dari bank di Mentakab dan Temerloh sebelum menyerahkan wang sebanyak RM40,000 kepada suspek.

Kemudian, katanya seorang daripada suspek yang dikenali sebagai ustaz telah meminta mangsa untuk melakukan solat syukur di sebuah masjid di Temerloh.

Sebaik sahaja selesai, katanya mangsa mendapati suspek telah menghilangkan diri dan telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Bera pada 8 malam tadi setelah menyedari ditipu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com