Warga Emas Lega Dapat Lesen Motosikal, Tak Risau Kena Saman


ALOR SETAR - Seorang Warga emas dari Tikam Batu menzahirkan rasa syukur setelah menerima lesen B2 apabila berpuluh tahun menunggang motosikal tanpa lesen.

Abu Bakar Awang, 82, adalah antara 817 peserta program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) dan My Prihatin anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang turut dihadiri sama Pengarah JPJ Kedah, Ismasuhaimi Shariff.

Abu Bakar yang tidak lagi risau disaman mengakui menunggang motosikal tanpa lesen sejak lebih 15 tahun lalu tetapi hanya untuk ke kedai, pasar dan masjid berhampiran rumahnya.

"Lega rasanya dah ada lesen motosikal, saya tak risau lagi disaman.

"Saya tak berani nak pergi jauh kerana tiada lesen, malah anak juga melarang saya menunggang motosikal keluar dari kawasan Tikam Batu kerana bimbangkan keselamatan.

"Awal tahun ini, anak maklumkan ada daftarkan nama saya dengan JPJ untuk program dapatkan lesen motosikal.

"Alhamdulillah, selepas beberapa kali latihan, saya lulus dan dapat lesen, jadi lepas ni tak risau nak ke mana-mana," katanya ketika ditemui.


Wajah Abu Bakar berseri-seri ketika menerima lesen B2 yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran dan Pengangkutan, Datuk Tajul Urus Mat Zain, semalam.

Sementara itu, Ismasuhaimi berkata, seramai 8,955 peserta berusia 45 tahun ke atas mengikuti 26 program SKSJ di Kedah sejak dilancarkan JPJ pada 2009.

"Seramai 201 peserta mengikuti program SKSJ bagi peringkat Kuala Muda kali ini manakala bagi program My Prihatin, seramai 616 peserta berusia 16 tahun ke atas lulus dan menerima lesen B2.

"Program SKSJ dan My Prihatin mendapat sambutan kerana bayaran dikenakan hanya RM190 untuk SKSJ dan RM200 untuk My Prihatin," katanya memetik BH Online.

Menurutnya, sejak sembilan tahun lalu, seramai 140,099 peserta mendapat manfaat program SKSJ menerusi 313 program yang dilaksanakan di seluruh negara.

My Prihatin yang dilaksana awal tahun ini bagi membolehkan pelajar golongan miskin mendapat lesen, setakat ini memanfaatkan 1,033 peserta di seluruh negara.

Mengenai tawaran nombor pendaftaran KEN 1 hingga 1999, Ismasuhaimi berkata, sambutan diterima amat menggalakkan selepas dua hari ia dibuka.

"Majoriti yang berminat mendapatkan nombor terbabit ialah dari luar Kedah dan tawaran dibuka sehingga 10 Mei ini," katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com