Warga Emas Di Sungai Petani Syukur BN Beri Cermin Mata Percuma


ALOR SETAR -  Warga emas di Sungai Petani menzahirkan rasa syukur tidak terkira setelah menerima bantuan cermin mata percuma sempena Program Jom Bantu Rakyat, anjuran Barisan Nasional di situ, kelmarin.

Pengerusi MIC Kedah, Datuk Jaspal Singh berkata, program tersebut bagi membantu golongan warga emas yang tidak berkemampuan untuk membuat cermin mata baru.

Difahamkan, sebanyak 120 cermin mata percuma disediakan buat pesakit rabun dekat dalam program berkenaan.

Seramai 500 pengunjung tanpa mengira peringkat usia hadir ke Program Jom Bantu Rakyat itu.

Seorang warga emas, Abdul Hamid Mustafa, 72, berasal dari Taman Bandar Baru Sungai Lalang, Sungai Petani berkata, adanya kemudahan cermin mata percuma, dia boleh membaca surat khabar di samping memudahkan urusan melengkapkan dokumen penting memandangkan sebelum ini matanya rabun.

Pemberian bernilai tersebut merupakan rezeki bermakna bagi dirinya dan mampu mengubah dan memberi sinar bagi dirinya menjalankan kehidupan seharian.

Sementara itu, A Komaladevi, 59, berkata, sudah hampir tiga tahun matanya bermasalah rabun dekat.

“Selepas periksa mata di sini, saya dapat cermin mata percuma, terima kasih kerajaan kerana bagi senang saya buat kerja,” katanya memetik Sinar.

Seorang lagi penerima, S Ananthi, 38, berkata, dia sudah pun membuat pemeriksaan sebelum ini namun dimaklumkan tidak mempunyai sebarang masalah.

“Selalu pening-pening, sekarang bila cuba cermin mata, saya lega, boleh baca,” katanya. - Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com