Warga Bangladesh, Myanmar Dicekup Khayal Dadah Di Pendang


ALOR SETAR - Polis berjaya menahan 26 penagih, tiga daripadanya warga asing di kawasan kebun getah di Kampung Baru, Sungai Tiang, di sini dalam serbuan antara jam 9 pagi hingga 12 tengahari semalam.

Sekumpulan lelaki tersebut disyaki penagih dadah yang dalam keadaan khayal bertempiaran lari meninggalkan motosikal masing-masing apabila menyedari kawasan kebun getah yang menjadi lokasi 'menikmati' bahan haram itu, diserbu polis, semalam.

Difahamkan, kawasan kebun getah yang terletak kira-kira 200 meter dari jalanraya itu sememangnya menjadi tumpuan mat gian dan tokan dadah di sekitar Sungai Tiang untuk melepaskan gian kerana ia terletak agak jauh dari rumah penduduk.

Menurut Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Fadzil Hashim, operasi yang disertai sembilan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang, Balai Polis Sungai Tiang dan Balai Polis Bukit Jenun serta dibantu 11 anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pendang.

Kata beliau, kawasan itu pernah diserbu anggotanya kerana menjadi port dadah namun menjadi tumpuan semula mat gian untuk melepaskan ketagihan dadah.

"Dua daripada lelaki warga Bangladesh berusia 28 dan 37 tahun itu positif dadah jenis morfin dan memiliki pasport sah, manakala warga Myanmar berusia 36 tahun itu yang memiliki kad pelarian Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) positif syabu.

"Warga Bangladesh itu menyewa di Kampung Sawa Sungai Tiang, manakala warga Myanmar itu menetap di Pokok Sena dan datang ke lokasi itu untuk menagih dadah bersama 23 lelaki tempatan yang turut ditahan," katanya memetik BH Online.

Jelas Fadzil, warga asing itu disiasat oleh polis mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala 23 penagih tempatan disiasat oleh AADK mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com