Wanita Terlantar Sakit Di Kulim Sedih, Rindu Kat Kucing-Kucing Tu...


ALOR SETAR - Akibat keadaannya kini yang terlantar sakit, dia tidak dapat lagi meneruskan rutin memberikan makanan kepada kucing-kucing jalanan itu.

Seorang ibu tunggal, Maimun Saei,74 dan anaknya Zulikram Mohamad,32, dikatakan sudah 20 tahun sanggup membelanjakan RM30 setiap hari untuk memberi makan kepada kucing jalanan yang tidak bertuan.

Dua beranak itu sanggup membelanjakan hasil wang menjual goreng pisang dan pencen arwah suaminya demi membeli makanan untuk kucing jalanan sekitar pekan Kulim.

“Kalau sihat saya pergi menjual goreng pisang di stesen bas, walaupun hasil tak banyak mana bolehlah untuk sedekah beli makanan kucing.

“Setiap hari, pada sebelah pagi dan petang saya dan anak akan pusing pekan Kulim untuk beri kucing-kucing yang terbiar itu makan. Biasanya, saya akan sediakan nasi yang digaul dengan ikan atau apa saja lauk yang ada,” kata Maimun memetik Sinar Harian.

“Saya sudah tak boleh duduk atau berdiri lagi. Hanya mampu terbaring, tulang punggung saya bermasalah akibat terhentak semasa membonceng motosikal untuk memberi makan kepada kucing.

“Saya sedih dan rindu kucing-kucing itu, saya berdoa diberi kesembuhan supaya dapat berniaga goreng pisang dan mencari duit untuk membeli makanan kucing,” katanya.

Dalam kesempitan hidup itu, Maimun mengharapkan ada pihak yang sudi menghulurkan sumbangan berupa katil khas untuk memberi keselesaan kepadanya.

Sementara itu, Zulikram berkata dia turut berdepan kekangan dalam meneruskan tugas memberi makan kepada kucing-kucing tersebut kerana perlu menjaga ibunya yang sakit.

“Dari dulu saya memang saya suka kucing sebab terpengaruh dengan emak. Sebelum ini, rutin saya setiap hari akan bawa emak naik motosikal pergi bagi makan kucing.

“Kadangkala kalau ada kucing jalanan yang sakit, kami akan bawa balik rawat sehingga sembuh sebelum dihantar semula ke tempat asalnya kerana di sini kami tak boleh bela sebagai menghormati jiran,

"Emak selalu pesan kalau kita suka bersedekah rezeki akan bertambah. Kalau ada orang tak suka sekalipun, kami tak kisah kerana kami buat ikhlas.

"Saya harap emak akan sembuh dan dapat meneruskan rutin memberi makan kepada kucing-kucing jalanan ini," katanya.

Bagi mana-mana pihak yang ingin menghulurkan sumbangan, boleh menghubungi Zulikram di talian 011-24194519. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com