Wanita Terjun Jambatan Pulau Pinang, Nasib Baik Abang Polis Selamatkan


TINDAKAN pantas seorang lelaki menyelamatkan wanita yang cuba bunuh diri di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah menerima pujian menggunung daripada pengguna di media sosial.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi semalam, lelaki yang difahamkan bekerja sebagai anggota polis bantuan itu dikatakan nekad terjun ke laut selepas melihat wanita berusia 28 tahun berkenaan terjun dari jambatan terbabit.

Usaha lelaki itu bagaimanapun berbaloi apabila dia berjaya menyelamatkan wanita berkenaan daripada lemas sebelum kedua-dua mereka diselamatkan bot nelayan tempatan di perairan Pulau Pinang.

Difahamkan, lelaki itu terpaksa berpaut pada tiang konkrit jambatan selama 20 minit gara-gara air laut mula pasang dan arus yang semakin kuat menolak mereka sehingga ke tengah laut.

Mujurlah terdapat beberapa tong ikan yang hanyut dan wanita berkenaan turut diminta agar berpaut pada tong-tong berkenaan sementara menunggu diselamatkan.

Menerusi laman Facebook, netizen sehingga kini tidak henti-henti memuji dan menyifatkan tindakan yang ditonjolkan lelaki itu selayaknya diberikan penghargaan.

Dalam pada itu jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.13 pagi mengenai kejadian itu.


“Mangsa letak kenderaan yang dipandunya di Kilometer 9.9 jambatan terbabit sebelum terjun ke laut, namun perbuatan wanita itu disedari seorang pekerja yang kebetulan membuat tugas rondaan.

“Polis bantuan itu antara individu terawal sampai ke tempat kejadian, bertindak nekad terjun ke laut bagi menyelamatkan wanita yang sedang terkapai-kapai itu walaupun tiada jaket keselamatan,” katanya.

Setakat ini motif sebenar wanita itu cuba membunuh diri masih belum dapat diketahui namun dipercayai mungkin tertekan akibat masalah peribadi. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com