Wanita Tekad Buat Rumah Sendiri Kos RM200,000


KOS rumah tinggi di ibu kota menyebabkan seorang wanita nekad ingin memiliki rumah sendiri dan berjaya belanja hanya RM200,000 membina rumahnya dalam tempoh tidak sampai sebulan.

Lapor sebuah portal online, Atiqah Nadiah Zailani, 31, telah merancang untuk membeli sebuah pangsapuri kecil dengan harga RM500,000 di Petaling Jaya, Selangor beberapa tahun lalu.

Sebelum memuktamadkan keputusannya, dia kebetulan telah dihantar ke Tanzania atas urusan kerja dan mendapat ilham melalui pengalaman dengan penduduk di benua Afrika itu.


 “Orang-orang Maasai (kumpulan etnik pribumi di Tanzania dan Kenya) tinggal di pondok yang kurang daripada 100 kaki persegi (9.3 meter persegi).

“Ia kerana kehidupan mereka banyak dihabiskan di luar rumah manakala dalam rumah adalah sebagai tempat untuk berehat sahaja,” katanya yang merupakan perunding pembangunan antarabangsa.

Selain itu, Atiqah mendapat inspirasi dari gerakan rumah kecil di Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand, di mana mereka lebih memilih ruang kediaman kecil dengan kehidupan yang mudah.

Setelah berfikir panjang, dia memutuskan untuk membeli sebidang tanah dan membina rumah tersebut mengikut keselesaanya sendiri.


Walaupun ayahnya seorang arkitek, tetapi Atiqah tidak mempunyai pengalaman luas dalam seni bina dan reka bentuk. Namun hal tersebut tidak merencatkan hasratnya lalu dia telah melakar sendiri seni bina rumah tersebut.

Ketika merancang pelan induk bagi kediaman yang diidamkannya, dia menetapkan agar rumah tersebut mempunyai ruang yang luas di bahagian bilik tidur dan meja kerja. Manakala ruangan kecil sahaja diperlukan bagi dapur.

Selepas Atiqah kembali ke Malaysia, dia mencari tanah yang mampu dimilikinya melalui talian internet dan mengakui amat sukar untuk mendapatkannya.


Dalam tempoh enam bulan seterusnya, dia telah membeli sebidang tanah seluas satu hektar di Behrang, Perak kira-kira 100 kilometer dari Kuala Lumpur.

Malah, kawasan tersebut yang menghadap Banjaran Titiwangsa dipenuhi dengan tumbuhan hijau yang menenangkan.

Bagi merealisasikan pembinaan rumah idamannya, Atiqah telah mengupah arkitek dan pereka dari sebuah syarikat sosial yang menggerakkan sukarelawan untuk membina rumah Orang Asli, Epic Homes.

“Mereka hanya ubah sedikit pelan asal saya sebanyak 30 peratus kerana saya merancang di atas tanah yang rata. Tanah di sini adalah berbukit dan lembap,” jelasnya.

Di akhir September 2017, impiannya telah berjaya direalisasikan dengan keluasan rumah 520 kaki persegi yang terdiri ruang tamu dan dapur terbuka, bilik mandi, dan beranda di tingkat bawah.


Tingkat atas pula terdapat loteng yang luas untuk katil dan meja kerjanya. Tangganya turut berfungsi sebagai almari pakaian.

Tambahnya lagi, Atiqah mahu melengkapkan rumahnya dengan mengambil masa dalam lima tahun lagi.

Selain merancang membuat perabot sendiri, Atiqah berhasrat mahu memasang panel solar dan menyediakan tangki simpanan air hujan sebagai sumber tenaga dan air.

Walaupun kos perbelanjaan hanya RM200,000 bagi sebuah rumah, namun usaha dan titik peluhnya lebih mahal daripada itu sehingga dia berjaya mencapai apa yang diinginkan.  - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com