Wanita, Remaja Terdedah Gangguan Dalam Talian


KUALA LUMPUR - Hampir separuh pengguna media sosial di negara ini berdepan dengan pelbagai risiko berbeza termasuk menerima mesej berunsur lucah dan gangguan seksual di dalam talian.

Keputusan itu adalah hasil kajian Indeks Kesopanan Digital (DCI) yang dijalankan oleh Microsoft, pada tahun lalu membabitkan individu berusia 13 hingga 74 tahun di 23 negara termasuk Malaysia.

Berdasarkan kajian itu, rakyat di negara ini terdedah kepada lima risiko di dalam talian iaitu, kira-kira 30 peratus menerima mesej berunsur seksual atau lucah, gangguan dalam talian (28 peratus), menerima sesuatu yang menyakitkan hati (22 peratus), penipuan (20 peratus) dan perhubungan yang tidak diingini (18 peratus).

Kenyataan Microsoft yang dikeluarkan baru-baru ini, berkata kesan risiko itu adalah lebih tinggi dalam kalangan wanita dan remaja berbanding lelaki dewasa.

Sukar percaya orang lain

Keadaan itu menyebabkan wanita semakin sukar mempercayai orang lain, manakala remaja pula berisiko mengalami kemurungan serta tekanan.

"Berdasarkan kajian, remaja adalah golongan paling terdedah kepada risiko gangguan di dalam talian," kata kenyataan Microsoft yang mendedahkan kajian DCI bagi tahun kedua sempena Hari Internet Selamat, baru-baru ini.


Kajian bertujuan melihat tingkah laku orang ramai dan persepsi mengenai perlakuan pelayar dalam talian.

Kajian mendedahkan, kebanyakan gangguan terbabit dilakukan pelaku yang dikenali mangsa.

"Kira-kira 29 peratus rakyat negara ini menjelaskan mereka mengenali pelaku secara peribadi seperti ahli keluarga, rakan atau kenalan," katanya.

Rakyat Malaysia juga kurang cenderung untuk mempertahankan diri sendiri atau orang lain atau berfikir sejenak sebelum menjawab sesuatu yang tidak dipersetujui berbanding individu pada peringkat global.

"Microsoft bangga dengan inisiatif yang diambil untuk keselamatan siber dan ia seiring dengan misi untuk memperkasa semua individu bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan pengguna internet di seluruh dunia mengenai kepentingan kesopanan di dalam talian.

"Diharapkan dengan data disediakan DCI, pengguna internet akan lebih bersatu dan mula memainkan peranan menjadikan internet yang lebih bermanfaat terutama pelayar dalam kalangan generasi muda," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com