Wanita Menopaus Pada Usia 23 Tahun Rayu Bantuan


HERTFORDSHIRE, Britain – Seorang wanita menopaus (putus haid) pada usia 23 kini merayu bantuan kewangan sebanyak £5,000 (RM27,000) bagi membolehkan dia menjalani rawatan kesuburan untuk menimang cahaya mata.

Hayley Gumble yang kini berusia 25 tahun disahkan menghidap sejenis penyakit jarang ditemui iaitu kegagalan ovari pramatang (POF) pada tahun 2016.

Penyakit itu menyebabkan dia yang bekerja sebagai jururawat hanya mempunyai lima peratus peluang untuk hamil.

Gumble yang berkahwin dengan suaminya, Sam pada Ogos tahun lalu berkata, mereka kini cuma memerlukan penderma telur memandangkan telur ovum miliknya tidak subur.

“Kami kini memerlukan £5,000 untuk mendapatkan penderma telur bagi membolehkan kami memiliki anak,” katanya dalam satu klip video berdurasi sembilan minit di Facebook pada 12 Mac lalu.

Setakat ini, video berkenaan telah menerima ribuan tontonan dan orang ramai mula menghulurkan bantuan bagi meringankan beban Gumble yang pernah mengalami angin ahmar pada Mei 2016 selain keguguran sebanyak dua kali pada usia 23 tahun. – Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com