Wanita Ini Berpantang Lepas Bersalin 'Makan' Dadah


WALAUPUN belum habis tempoh pantang selepas bersalin, seorang wanita nekad melepaskan gian dengan mengambil dadah jenis heroin.

Malah, perbuatan itu dilakukan di hadapan bayi lelakinya yang baru berusia satu bulan di kediamannya di Bandar Baru Bangi, Bangi.

Apabila serbuan dijalankan sepasukan anggota penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Cawangan Hulu Langat di kediaman wanita berusia 33 tahun itu 11 malam semalam, dia dilihat menangis dan minta dilepaskan dengan memberi alasan mahu menjaga bayi berkenaan yang juga anak ketiganya.

Difahamkan, suami wanita terbabit menghilangkan diri sejak beberapa bulan lalu dan dia kini tinggal bersama ibunya yang berniaga nasi lemak.

Wanita itu antara empat individu ditahan dalam Operasi Cegah (Op Cegah) dijalankan AADK Hulu Langat di empat lokasi sekitar Bandar Baru Bangi, Kajang, Cheras dan Semenyih bermula 9 malam hingga 2 pagi.

Ketua Pegawai AADK Daerah Hulu Langat Muhamad Ramlan Syed Ahamed berkata, hasil maklumat diperolehi, pihaknya membuat serbuan di kediaman empat individu berkenaan yang berusia antara 30 hingga 40 tahun.

"Hasil ujian saringan air kencing dilakukan mendapati keempat-empat individu terbabit positif dadah jenis methaphetamine, heroin dan ganja.

"Mereka dibawa ke Pejabat AADK Hulu Langat untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 3 (1) dan Seksyen 8 (3)(b) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya.

Muhamad Ramlan berkata, pihaknya akan menjalankan operasi berterusan bagi membanteras kegiatan penagihan dadah di daerah berkenaan.

"Usaha membanteras gejala penagihan dadah akan diteruskan secara konsisten melalui Op Cegah yang dijalankan setiap minggu terutama di lokasi panas di sekitar daerah ini.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sebarang kegiatan penagihan dadah di daerah ini boleh menghubungi kami atau tampil ke Pejabat AADK Hulu Langat untuk tindakan lanjut," katanya.

Sumber - Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com