Wan Ji Dipenjara 9 Bulan Kerana Hina Sultan Selangor


SHAH ALAM – Seorang penceramah bebas dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam kerana menerbitkan penerbitan menghasut bagi menghina Sultan Selangor melalui laman sosial Facebook, enam tahun lepas.

Hakim Mohd Sabri Ismail memerintahkan Wan Ji Wan Hussin, 35, menjalani hukuman itu selepas dia didapati bersalah menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk membabitkan isu agama dalam laman sosial Facebook dengan nama wanji.attaaduddi.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5 di sini pada 10 pagi, 5 November 2012.

Wan Ji dihukum mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh, yang diwakili peguam Mohd Radzlan Jalaludin, untuk menangguh pelaksanaan hukuman sehingga proses rayuan di Mahkamah Tinggi selesai dan membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM5,000 serta seorang penjamin.  – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com