Wan Azri Ingin Tamatkan Riwayat Politik Dr Wan Azizah


KUALA LUMPUR - Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Wangsa Maju, Wan Muhammad Azri Wan Deris hari ini menyuarakan keinginan untuk bertanding di Parlimen Pandan, berhadapan dengan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.

Dalam satu kenyataan media, Wan Muhammad Azri berkata, tujuan beliau hanya untuk mengajar Dr Wan Azizah, yang juga isteri kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa dunia politik tanah air ini bukan hanya untuk keluarga bekas timbalan perdana menteri itu sahaja.

“Sistem demokrasi kita mereka liwat untuk kepentingan mereka. Suka-suka hati mereka tukar kerusi sana sini untuk ayah, emak dan anak.

“Mereka gunakan rakyat sebagai 'rubber stamp' untuk cop mereka menjadi YB dan dapat elaun serta pelbagai kemudahan.

"Selepas itu, mereka tinggalkan rakyat. Datang pilihan raya lain, mereka tukar kerusi lain pula,” katanya lagi. 

Ditanya sekiranya beliau bersedia menghadapi tindakan displin kerana bertanding tanpa watikah daripada ibu pejabat Barisan Nasional (BN), Wan Muhammad Azri berkata, pada PRU yang lepas, terdapat juga kes di mana calon ditukarkan walaupun watikah sudah diterima.

Pada PRU kali ini, Dr Wan Azizah akan menggantikan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk bertanding di Pandan, dan akan berhadapan dengan calon BN, Datuk Leong Kok Wee dan calon Pas, Mohamed Sukri Omar.

Selain itu, persaingan juga bertambah menarik apabila peguam Mohd Khairul Azam Aziz turut meluahkan hasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas di kawasan itu.

Pada PRU yang lepas, Rafizi menewaskan calon BN Lim Chin Yee dengan majoriti 26,729 undi. Seorang lagi calon bebas, Tan Yew Leng, hanya berjaya mendapat 2,415 undi.

Pada 14 Mac lepas, Rafizi mengumumkan untuk tidak bertanding untuk pilihan raya kali ini.

Beliau kini dalam proses rayuan di selepas dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan atas kesalahan membocorkan dokumen penyata baki akaun bank milik National Feedlot Corporation (NFC), pada Mac 2012.

Sumber: Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com