Wan Azizah Tinggalkan Majlis Cetus Tanda Tanya


BUKIT MERTAJAM - Tindakan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail yang meninggalkan Majlis Pelancaran Jentera Parlimen Permatang Pauh secara tiba-tiba di sini, semalam, menimbulkan tanda tanya.

Penyandang Ahli Parlimen Permatang Pauh itu yang hadir bersama anaknya, Nurul Izzah Anwar, dilihat tergesa-gesa bangun dan meninggalkan majlis ketika pengerusi majlis menjemput Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk memberikan ucapan.

Bagaimanapun, Nurul Izzah tidak menyertai Dr Wan Azizah untuk pulang bersama.

Pergerakan Dr Wan Azizah itu disedari kumpulan wartawan yang segera bangun dan mengejar beliau bagi mendapatkan komen berhubung beberapa isu berbangkit dalam PKR dan pakatan pembangkang.

Ketika ditanya, Dr Wan Azizah berkata, beliau terpaksa pulang ke Kuala Lumpur kerana perlu menandatangani watikah calon PKR bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Saya perlu balik kerana mahu tandatangan watikah, kerana semua calon yang akan bertanding di bawah saya punya tandatangan," katanya.

Terdahulu, beberapa media melaporkan PKR sedang berhadapan dengan krisis apabila semua senarai calon parti itu di Selangor, yang dicadangkan Mohamed Azmin, ditolak Dr Wan Azizah.

Difahamkan, Mohamed Azmin mengemukakan lapan nama, antaranya ialah penyandang Tian Chua dan Datuk Dr Tan Kee Kwong, selain Yaakob Sapari, Hanizah Mohd Talha dan Gan Pei Nie.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata, PKR akan melakukan saringan terakhir senarai calon PRU-14, dengan turut mendapat nasihat daripada Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita ada saringan untuk proses calon. Kita akan lakukan saringan terakhir dengan nasihat daripada Anwar," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com