Walau Berdepan Persepsi Negatif, Beliau Tetap Sedia 9,000 Kerja Untuk Anak Kedah


ALOR SETAR - Meskipun beliau terpaksa berdepan dengan pelbagai tohmahan dan persepsi negatif oleh golongan netizen yang rata-ratanya generasi muda, namun beliau tetap berjiwa besar untuk membuka ruang ribuan pekerjaan kepada anak-anak Kedah.

Tetap bersusah payah persis seorang bapa yang sentiasa memikirkan kepentingan anak-anaknya, Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berusaha membawa Program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) ke Kedah yang menawarkan lebih 9,000 pekerjaan.

"Dianggarkan seramai 20,000 pengunjung yang hadir ke program ini sejak berlangsung semalam (kelmarin) dan SL1M menawarkan sebanyak 9,000 peluang pekerjaan untuk anak-anak muda.

"Saya harap anak-anak muda di negeri ini supaya tidak mensia-siakan peluang ini dan sedia untuk mengambil peluang tersedia," katanya kepada Kedahnews.com dalam sidang akhbar sejurus merasmikan program SL1M peringkat zon utara, di sini petang semalam.


Turut hadir mengiringi beliau di program berkenaan adalah Exco Kerajaan Negeri, Datuk Suraya Yaacob.

Ahmad Bashah turut meluahkan penghargaan kepada Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail, yang membawa program berkenaan dalam penganjuran selama dua hari di Stadium Suka Menanti yang berakhir semalam.

Program SL1M mula dilancarkan pada Jun 2011 bagi membantu graduan-graduan muda bagi meningkatkan tahap kebolehpasaran mereka setelah tamat pengajian masing-masing, dan turut diperkemaskan dengan tindakan susulan sehingga mampu berdikari serta mencapai sasaran yang ditetapkan.

Lebih 60 gerai pameran disediakan di program ini dan 50 buah daripadanya membawakan syarikat-syarikat ternama dan anak-anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC). 


Ahmad Bashah berkata, pihak kerajaan negeri turut memberi fokus untuk menyediakan peluang-peluang pekerjaan baru kepada anak-anak Kedah pada masa akan datang, khususnya dengan kewujudan Zon Industri Bebas di Bukit Kayu Hitam yang bakal menawarkan lebih 30,000 peluang pekerjaan.

Beliau turut menyahut positif manifesto Barisan Nasional (BN) yang bakal menyediakan sebanyak 3 juta peluang pekerjaan sepanjang 5 tahun akan datang seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak baru-baru ini. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com