Video: Lelaki Jadi 'Lauk' Belasahan Lepas Terbabit Kemalangan


KUALA LANGAT – Rakaman video menunjukkan beberapa individu memukul seorang lelaki di tengah padang sebuah sekolah di daerah ini, tersebar meluas di media sosial.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang semalam di Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Banting, mangsa yang dipercayai berusia lingkungan 20-an dipukul dengan menggunakan beberapa objek seperti kayu, batu dan topi keledar.

Difahamkan, insiden gangsterisme itu berlaku sejurus mangsa terbabit dalam kemalangan kecil di hadapan sekolah berkenaan dengan kereta dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman seperti yang dipetik Sinar Harian berkata, penunggang motosikal dan pemandu berkenaan pada mulanya cuba berbincang dan ingin menyelesaikan secara baik permasalahan mereka.

Namun ketika sedang berbincang mangsa dikatakan ‘naik angin’ sehingga bertindak membaling batu ke arah pemandu kereta berkenaan sebelum melarikan diri di kawasan sekolah terbabit.

“Rakan pemandu kereta berkenaan serta beberapa lagi individu kemudiannya mengejar lelaki terbabit lalu memukulnya dengan menggunakan topi keledar dan batu.

“Pergaduhan itu turut disaksikan oleh beberapa orang awam yang meleraikan mereka sebelum menghubungi polis,” katanya.

Kata Azizan, polis menahan dua lelaki termasuk pemandu kereta dan sedang mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu.

“Pemandu kereta terbabit menerima sembilan jahitan di kepala, manakala penunggang motosikal dan beberapa lelaki lain masih diburu.

“Kami sudah menahan dua lelaki berusia 31 tahun dan 25 tahun yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu bagi membantu siasatan,” katanya lagi.

Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau mengenali suspek diminta tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com