Video: Bayar Tempat Duduk Murah, Tapi Nak Duduk Seat Mahal


SLOGAN ‘Now everyone can fly’ atau ‘Kini semua orang boleh’ yang dicanangkan syarikat penerbangan AirAsia nampaknya telah disalah gunakan oleh seorang penumpang wanita.

Mana taknya, baru-baru ini seorang penumpang syarikat penerbangan tambang murah itu dirakam dengan selamba ‘menaik taraf’ tempat duduk biasa yang ditempahnya kepada tempat duduk Premium.

Daily Mail melaporkan, situasi menjengkelkan itu berlaku pada 2 Mac lalu apabila wanita terbabit yang menempah tempat duduk standard bagi penerbangan Kuala Lumpur ke Hong Kong bertindak menukar pada saat-saat akhir sebelum pesawat berlepas.

Wanita pertengahan usia itu berpindah ke barisan tempat duduk keutamaan yang mana memperuntukan caj tambahan sebanyak £27 (RM147.34) untuk menikmati lebih ruang kaki dan kebiasaannya kawasan tersebut tidak dipenuhi penumpang.

Tindakan sesuka hati wanita itu lantas disedari seorang penumpang lain di tempat duduk Premium, Bruce Lam yang kemudiannya mengarahkan wanita itu untuk kembali ke tempat duduknya, namun berlaku pertengkaran kecil di antara mereka.

Selepas bertengkar, wanita berkenaan kembali ke tempat duduknya asalnya namun tidak beberapa lama kemudian, dia kembali semula ke tempat duduk Premium tersebut yang mana menyebabkan kekecohan dan pertelingkahan dengan beberapa kru penerbangan.

“Kami membayar tambahan untuk tiket kami. Apabila pesawat berlepas, seorang wanita pertengahan umur berjalan dari tempat duduk standard ke tempat duduk Premium di belakang saya.


“Kakitangan dengan cepat meminta wanita itu untuk kembali ke tempat duduknya dan menjelaskan dia tidak boleh sewenang-wenang berbuat demikian. (Namun), wanita itu dengan marah berkata ‘mengapa’,” kata Bruce.

Wanita itu hanya kembali ke tempat duduknya apabila penumpang lain mula berteriak kepadanya, memberitahu bahawa dia bersikap ‘jelek’.

Bruce menambah wanita itu terus bersikap degil apabila sekali lagi kembali ke kerusi tersebut dan enggan bangun walaupun diarahkan berbuat demikian.

Lebih teruk lagi, wanita berkenaan dilihat terus berbaring di kerusi tersebut sambil bermain telefon bimbitnya.

“Selepas lima minit dia kembali untuk kali keduanya. Beberapa minit kemudian, wanita itu berjalan ke belakang saya untuk kali ketiga. Seorang kru penerbangan meminta wanita itu kembali ke kerusinya dan berkata ia tidak adil untuk orang lain.

“Saya tidak tahu sama ada kakitangan itu terlalu lembut atau sopan, tetapi wanita itu bersikap lebih buruk daripada sebelumnya. Dia sangat kasar dan marah.

“Kira-kira sepuluh minit kemudian, kru penerbangan itu berjalan ke sisi saya dan berkata dalam bahasa Cina: ‘Terima kasih, kami sering berdepan dengan tetamu yang kurang ajar’,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com