Video: "Bang, Saya Dah Tengok Belakang Sebelum Buka"


“BANG, saya dah tengok dah,” demikian reaksi seorang penumpang apabila pintu kereta yang dibukanya secara tidak sengaja dilanggar sebuah kenderaan lain dari arah belakang.

Menerusi video tular berdurasi 44 saat itu, penumpang yang dipercayai menaiki kereta Grab bersama dengan adik lelakinya itu sampai ke destinasi mereka dan kemudian membayar jumlah tambang dikenakan sebanyak RM6.

Bagaimanapun sebaik sahaja mengucapkan terima kasih, wanita itu terus membuka pintu belakang sebelah kiri tanpa menoleh keadaan jalan di belakang kereta tersebut.

Dalam masa yang sama, datang sebuah kereta Perodua Myvi yang datang dari arah belakang dan cuba memintas kenderaan Grab yang berhenti di tepi jalan itu.

Tidak sempat mengelak, kereta Myvi itu terlanggar pintu itu dengan kuat menyebabkan kerosakkan teruk pada pintu kereta Grab tersebut.

Ketiga-tiga mereka terkejut dengan kejadian itu dan tergamam seketika. Namun pemandu Grab dengan tenang dan masih mampu tertawa kecil dengan kejadian yang tidak disangkakan itu.

Sementara itu, wanita berkenaan mendakwa dia sudah melihat keadaan jalan sebelum membuka pintu kereta.

Adik lelakinya juga sempat bertanya bagaimana kejadian itu boleh berlaku dan apakah kereta Myvi itu dipandu dengan laju secara tiba-tiba?

Bagaimanapun pada teks yang disertakan dalam video itu mendakwa, penumpang berkenaan tidak memandang dahulu keadaan jalan di belakang sebelum membuka pintu.

“Buka pintu tak tengok belakang. Boleh pulak claim dah tengok belakang,” tulis kapsyen yang tertera di dalam video. Tidak diketahui apa yang berlaku seterusnya.

Namun netizen di media sosial meluahkan rasa kasihan dengan kejadian yang menimpa ke atas pemandu terbabit dan juga penumpang yang mungkin tidak menyangka kejadian itu boleh berlaku.

Justeru, orang ramai yang sering menggunakan perkhidmatan awam seperti Grab atau teksi, ataupun kereta persendirian dinasihatkan untuk memerhatikan keadaan jalan raya.

Pastikan sejenak tiada kereta lalu bersebelahan sebelum membuka pintu bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com