Veteran Perang Tertua Di Dunia Melawat Muzium Di Washington


WASHINGTON - Veteran perang tertua di Amerika Syarikat, Richard Overton, 111, yang juga cucu kepada seorang hamba dibawa melawat Muzium Kebudayaan dan Sejarah Afrika Amerika secara eksklusif, hasil usaha seorang dermawan keturunan Afrika-Amerika.

Overton yang bakal menyambut ulang tahun ke-112 bulan depan, dipercayai adalah lelaki tertua di Amerika Syarikat dan ketiga tertua di dunia.

Beliau membesar di Texas, selepas datuknya seorang bekas hamba membawa mereka sekeluarga berpindah selepas dibebaskan majikannya.

Ketika Perang Dunia Kedua, Overton bertugas di Pasifik dan selepas bersara beliau bekerja di kedai perabot.

Menurut majalah Forbes, pada Ahad lalu, beliau dibawa melawat muzium itu selepas seorang ahli perniagaan bertaraf bilionair dan pelabur yang dilaporkan rakyat Afrika-Amerika terkaya di Amerika Syarikat, Robert Smith, membawa Overton ke Washington dengan menaiki jet peribadi.

Sementara itu, sepupu Overton, Volma Overton memberitahu AFP, Smith bertemu dengan Richard di Austin, Texas pada Jumaat lalu, iaitu lokasi kediaman kedua-dua lelaki terbabit.

"Smith yang menyumbang sebanyak AS$20 juta (RM77.3 juta) kepada muzium itu, kemudiannya mengatur satu lawatan peribadi, satu lawatan khas.

"Kami tidak menyangka akan dibawa melawat muzium itu dalam masa terdekat, tetapi Smith datang melawat Richard di rumahnya buat kali pertama.

"Beliau berbual dengan Richard selama dua jam di anjung rumah dan bertanya sama ada Richard mahu ke DC (Washington) untuk melawat muzium ini.

"Ia berlaku begitu sahaja," kata Volma.

Menurut Washington Post, ketika lawatan berkenaan, Overton turut menerima panggilan daripada bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Colin Powell.

Powell adalah rakyat keturunan Afrika-Amerika pertama yang dilantik sebagai pengerusi Ketua Staf Bersama tentera Amerika Syarikat.

Volma berkata, Richard yang berkahwin sebanyak dua kali, tidak mempunyai anak selepas menceraikan isteri pertamanya, manakala isteri keduanya meninggal dunia pada 1980-an. - AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com