Ustaz Sebak Budak Kumpul Syiling Bayar Yuran Mengaji


REMBAU -"Ustaz, saya nak bayar yuran mengaji," kata seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun sambil menghulurkan sebungkus syiling kepada pengasas Pusat Pengajian Taman al-Quran, Muhamad Allif Ibrahim, 26, di sini.

Muhammad Allif yang membuka kelas pengajian di dalam bas terpakai di Taman Seri Rembau di sini, sejak awal tahun lalu, berkata perbuatan ikhlas muridnya itu selepas tamat kelas malam kelmarin, membuatkan beliau sebak dan terharu.

"Walaupun bukan daripada keluarga miskin, Murid Tahun Dua dikecualikan daripada membayar yuran kerana saya suka melihat kerajinan dan kesungguhannya datang ke kelas setiap malam.

"Tapi dia amat prihatin mungkin kerana menyedari dia lebih bernasib baik berbanding ramai rakannya. Mungkin juga dia mempunyai rasa tanggungjawab kerana menyedari pusat pengajian ini tidak mendapat pungutan yuran yang tinggi kerana hanya 30 daripada 130 pelajar dikenakan yuran RM30 sebulan kerana 100 lagi pelajar adalah daripada keluarga asnaf.

"Dia beritahu saya, dia kumpul 50 sen daripada wang belanja sekolahnya sehingga cukup RM30 untuk diserahkan kepada saya sebagai yuran. Saya amat terharu dan membuatkan saya lebih bersemangat untuk meneruskan kerja sukarela ini," katanya kepada NSTP di sini, semalam.

Muhammad Allif berkata, dia kemudian menghubungi keluarga kanak-kanak itu untuk mengelakkan salah faham dan diberitahu oleh bapanya, anak mereka berazam untuk membayar yuran menggunakan wang yang dikumpulnya sendiri.


NSTP sebelum ini pernah melaporkan, sekumpulan anak muda diketuai Muhammad Allif, berjaya membuka kelas pengajian al-Quran di dalam bas terpakai dan mendapat sokongan ramai walaupun idea mereka itu pernah dianggap sebagai gila pada peringkat awal.

Ketika mula beroperasi dengan sebuah bas pada Mac tahun lalu, banyak pihak kurang yakin kelas pengajian itu bertahan lama, namun selepas beberapa bulan, kumpulan anak muda itu membuktikan projek terbabit mampu berkembang dan kini mempunyai empat bas dan sebuah kontena.

Muhammad Allif, berkata ketika kini seramai 130 orang pelajar berusia empat hingga 18 tahun belajar belajar di situ dalam dua sesi setiap petang dan malam, masing-masing bermula jam 5 hingga 6.30 petang dan jam 8 hingga 9.30 malam.

Katanya, mereka mengharapkan bantuan dan sumbangan orang ramai untuk terus beroperasi dan sumbangan boleh disalurkan melalui akaun CIMB Pusat Pengajian Taman al-Quran AZ (8602 3453 09).

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com