UMNO Kuat, Bukan Saingan Pembangkang - Nilwan Kabang


KUNAK - UMNO adalah parti kuat, dan ia bukan saingan parti pembangkang yang  kebanyakan pemimpin  tertingginya pernah menganggotai UMNO, kata Naib Ketua UMNO Bahagian Silam Datuk Nilwan Kabang.

Beliau berkata  Datuk Seri Anwar Ibrahim mengasaskan PKR kerana kecewa tidak berjaya  menjadi perdana menteri manakala Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mahu kembali berpolitik, memilih untuk menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

"Begitu juga bekas pemimpin UMNO di Sabah seperti Datuk Lajim Ukin dan Datuk Seri Shafie Apdal yang kini memimpin pembangkang...mereka kecewa tetapi kenapa perlu mengheret 'orang lain'.

"Misalnya di Kunak, orang lain diheret bersama-sama pemimpin yang kecewa setelah hasrat menjadi calon tidak dapat, minta projek pun tidak dapat," katanya.

Beliau berkata demkian kepada pemberita selepas merasmikan program himpunan Sahabat AIM dan sambutan paras sifar Sahabat di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Nilwan berkata rakyat Sabah perlu bersyukur kerana di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, mereka boleh menyuarakan tentang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau juga meminta semua pengundi khususnya pengundi pertama kali di Parlimen Silam supaya  mengundi Barisan Nasional pimpinan Najib pada 9 Mei ini kerana kemajuan yang dikecapi Sabah hari ini adalah kerana pentadbiran BN.- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com