UiTM IPT Pertama Dunia Terbit Sukuk Hijau RM222.3j


PUTRAJAYA – Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjadi institusi pendidikan tinggi (IPT) pertama di dunia menerbitkan Sukuk Hijau SRI (Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab) bernilai RM222.3 juta bagi pelaksanaan projek pembangunan loji jana kuasa elektronik solar fotovoltan (PV).

Kemudahan yang terletak di Gambang, Pahang dan dijangka akan beroperasi secara komersial pada November 2018, akan menjadikan UiTM sebagai universiti pertama Malaysia yang memiliki dan mengendalikan loji jana kuasa PV berskala besar 50 megawatt (MW).

Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Dr. Ahmad Zaidee Laidin berkata kemudahan yang dibina di kawasan seluas 117.36 hektar dan menelan belanja RM287 juta, mampu menjana pendapatan lebih RM650 juta kepada UiTM dalam tempoh 21 tahun akan datang.

“Bagi membiayai pembinaannya, UiTM menyuntik ekuiti sebanyak RM56 juta ke dalam projek tersebut manakala baki 80 peratus lagi akan dibiayai menerusi terbitan sukuk bernilai RM222.3 juta,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Ahmad Zaidee berkata, Sukuk Hijau SRI itu diberi penarafan (AA-) dengan unjuran stabil oleh Malaysian Rating Corporation Bhd manakala Affin Hwang Investment Bank Bhd berperanan sebagai pengatur dan pengurus utama sukuk tersebut.

Menurutnya, loji yang menggunakan lebih 180,000 panel fotovoltan itu mampu menjana tenaga elektrik kepada lebih 22,000 rumah dan seterusnya membantu Malaysia untuk mengurangkan kadar pelepasan karbon dioksida.

“Menerusi syarikat bertujuan khas, UiTM Solar Power Sdn Bhd, loji itu sedang dibina oleh konsortium yang terdiri daripada ET Solar dan Northwest Electric Power Design Institute Co Ltd dari China Power Engineering Consulting Group serta mendapat sokongan kontraktor tempatan yang lain,” katanya.

Menurut Ahmad Zaidee, sebagai nilai tambah, UiTM turut menempatkan sebuah Pusat Penyelidikan Solar UiTM yang akan menjadi pusat kecemerlangan untuk inovasi, pembangunan dan pengkomersialan tenaga boleh baharu.

“Pusat penyelidikan ini juga merupakan kemudahan pertama seumpamanya di dunia yang terletak di tapak sama dengan loji jana kuasa solar komersial yang berskala besar,” katanya. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com