Tunku Abdul Rahman Dianugerah Tokoh Hawana Pertama


KUALA LUMPUR -  Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj diangkat sebagai penerima pertama anugerah Tokoh Hari Wartawan Nasional (Hawana) bagi menghargai sumbangan dan jasa beliau membangunkan serta memajukan bidang kewartawanan.

Anugerah yang julung kalinya diperkenalkan pada pelancaran sambutan Hari Wartawan Nasional 2017/2018 itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada cucunda Almarhum, Tengku Rozani Tengku Ahmad Nerang di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade di sini.

Selaku Perdana Menteri Malaysia pertama dan Menteri Penerangan pertama, Almarhum Tunku semasa hayatnya berjaya meletakkan asas kepada perkembangan media elektronik dan media cetak negara selain aktif dalam bidang penulisan.

Semasa menyandang jawatan Menteri Penerangan dan Penyiaran Malaysia (1961-1964), Almarhum banyak memainkan peranan mengukuhkan kedudukan radio dan televisyen sebagai badan penyiaran yang dikagumi dan dihormati.

Almarhum menjadikan Radio Malaysia sebagai sumber berita, maklumat dan hiburan bagi rakyat lantas memantapkan siaran radio dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Mandarin dan bahasa Tamil serta stesen radio di negeri-negeri.

Almarhum Tunku amat menyedari bahawa sokongan rakyat terhadap kerajaan terletak kepada penyampaian maklumat yang tepat dan cepat, melalui saluran media cetak dan media elektronik, terutama radio ketika itu.

Almarhum turut mengasaskan penubuhan South East Asia Press Centre, pada 29 Sept, 1966, yang menjadi institusi latihan untuk para wartawan kadet Malaysia dan wartawan negara-negara Asia Tenggara.


Pada 1974, South East Asia Press Centre ditukar nama menjadi Malaysian Press Institute.Almarhum Tunku juga memainkan peranan penting dalam penubuhan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) melalui  penggubalan Akta BERNAMA, dan melancarkan agensi itu di bangunan Parlimen pada 30 Ogos, 1967.

Minat Almarhum dalam dunia kewartawanan terus kekal selepas tidak lagi menjadi perdana menteri apabila menerima pelantikan sebagai Pengerusi Kumpulan The Star Media pada 1977 dan aktif sebagai penulis kolum akhbar itu, mengupas isu-isu semasa, selain menceritakan pembabitannya dalam bidang politik dan urusan kerajaan.

Almarhum terus aktif menulis di ruangan khas Looking Back dan As I See It dalam akhbar The Star sehinggalah berusia 85 tahun.Pada tahun 1969, Almarhum menghasilkan buku pertama berjudul May 13, “Before and After”.

Buku lain hasil karya Almarhum termasuk Viewpoints, Looking Back, As Matter of Interest, Something to Remember, Less We Forget dan Contemporary Issues in Malaysian Politics, Challenging Times dan Political Awakening.

Tiga karya tulisan Almarhum telah turut difilemkan iaitu “Mahsuri”, “Raja Bersiung” dan “Sumpahan Mahsuri”.

Di arena antarabangsa, Almarhum Tunku berjasa sebagai individu yang mencadangkan penubuhan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), yang kini dikenali sebagai Pertubuhan Kerjasama Islam dan telah dilantik sebagai Setiausaha Agung yang pertama.

Almarhum turut mengilhamkan penubuhan Bank Pembangunan Islam sebagai sebuah institusi khusus dalam OIC serta penubuhan Persatuan Negara Asia Tenggara (ASA)  yang terdiri daripada Tanah Melayu, Filipina, dan Negara Thai.

Almarhum Tunku menjadi Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dari 1955 sebelum memegang jawatan Perdana Menteri Malaya pada tahun 1959 hingga 1963 dan Perdana Menteri Malaysia dari tahun 1963 hingga 1970.

Diputerakan di Alor Setar, Kedah pada 8 Feb 1903, Tunku meninggal dunia pada 6 Dis, 1990.-Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com