Tun M Tetap Tuduh Jet Disabotaj Walau CAAM Kata Tidak


ALOR SETAR- Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah mengesahkan tiada sebarang unsur sabotaj terhadap pesawat yang sepatutnya dinaiki calon PKR Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Jumaat lalu.

Malangnya, bagi bekas Perdana Menteri itu beliau tetap dengan kedegilannya dan 'kepercayaan karutnya' berkeras mempertahankan dakwaan pesawat itu disabotaj oleh pihak tertentu. 

Tidak cukup dengan itu Mahathir turut dilihat cuba mengalih perhatian demi mempertahan tuduhan tidak berasas itu dengan membuat dakwaan baharu kononnya terdapat pihak lain yang telah dimaklumkan awal berhubung insiden terbabit.

Bagi mempertahankan tuduhannya, Mahathir mendakwa cuba menghubungi tiga rakannya untuk meminjam pesawat ke Langkawi tetapi seorang daripada mereka mendakwa telah diberi amaran untuk tidak berbuat demikian.

“Nampak seolah-olah ada pihak yang tahu kerosakan pada pesawat saya dan menentukan tidak ada pesawat lain yang boleh saya pinjam dengan niat ingin menghalang saya daripada terbang ke Langkawi untuk hadir ke penamaan calon,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Dewan Ho Peng di sini malam semalam.

Hasil siasatan terhadap pesawat itu, Pengerusi CAAM, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman menjelaskan, pesawat tersebut sebenarnya gagal terbang disebabkan masalah teknikal kecil dan kesalahan rutin iaitu kebocoran udara dari bahagian kiri tayar depan pesawat tersebut.

Terdahulu, Mahathir membuat tuduhab pesawat yang sepatutnya membawa beliau ke Langkawi bagi menghadiri majlis minum petang bersama komuniti Cina dan India di Langkawi telah disabotaj oleh pihak tertentu.

Portal propembangkang pula mendakwa Mahathir telah menaiki pesawat tersebut untuk menuju ke Langkawi dari Subang tetapi dimaklumkan oleh juruterbang bahawa tayar pesawat itu telah bocor.

Dalam pada itu, pengerusi gabungan pembangkang PKR itu berkata, kerosakan serius pada roda hadapan pesawat tersebut turut diakui oleh CAAM.

“Tetapi CAAM anggap tuduhan saya sebagai serius. Saya tidak tuduh CAAM, saya cuma hendak nyatakan apa yang berlaku itu diakui sendiri oleh CAAM,” katanya. - Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com