Tun M Gagal Dapat Kebenaran Cabar Komposisi Panel RCI


PUTRAJAYA - Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi gagal di Mahkamah Persekutuan di sini, untuk mendapat kebenaran bagi mencabar komposisi panel Suruhanjaya Siasatan Bagi Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing (RCI) Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1990-an.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif, dalam keputusan sebulat menolak permohonan Dr Mahathir untuk mencabar kelayakan pengerusi dan seorang anggota panel.

Beliau memutuskan bahawa tiada kesalahan bagi pasukan petugas khas yang mencadangkan pembentukan suruhanjaya itu turut menjadi ahli panel.

Oleh itu, Dr Mahathir gagal dalam semua usahanya untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar perlantikan Pengerusi RCI, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan seorang lagi ahli panel iaitu Tan Sri Saw Choo Boon.

Turut bersidang bersama Raus ialah Tan Sri Hasan Lah dan Tan Sri Ramly Ali manakala Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke mewakili Suruhanjaya Siasatan dan Kerajaan Malaysia selaku responden dan Dr Mahathir diwakili peguam Mohd Haniff Khatri Abdulla.

Pada 13 Disember tahun lalu, Dr Mahathir memohon di Mahkamah Persekutuan untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan kebenaran merayu untuk menggugurkan Mohd Sidek dan Choo Boon daripada menjadi panel.

Pada 17 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi sudah menolak permohonan Dr Mahathir yang merayu untuk mendapat kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman.

Dr Mahathir memfailkan permohonan itu pada 9 Ogos tahun lalu dengan alasan Mohd Sidek sebelum ini Pengerusi Pasukan Petugas Khas (PPK) yang menjalankan siasatan awal kes terbabit, manakala Choo Boon pula seorang daripada anggota PPK.

Pada 8 Ogos tahun lalu, Suruhanjaya Siasatan menolak permohonan peguam Mohamed Haniff Khatri dan R Sivarasa, masing-masing mewakili Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk mengemukakan bantahan awal berhubung pelantikan berkenaan.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com